malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi lapor polis dakwa anak syarikat FIC tak wujud
Diterbitkan:  Oct 24, 2017 6:13 PM
Dikemaskini: 10:51 AM
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini membuat laporan polis mendakwa anak syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang dikatakan memiliki Hotel Grand Plaza Kensington di London tidak wujud.

Rafizi dalam laporan polisnya mendakwa berdasarkan carian menerusi Companies House di United Kingdom mendapati FIC Global Ltd dan FIC London Hotel Pvt. Ltd. sebaliknya ditubuhkan di British Virgin Island (BVI).

"Penemuan ini menunjukkan berlaku jenayah apabila pengisytiharan yang dibuat di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit adalah tidak benar apabila kedua-dua buah syarikat itu sama ada tidak wujud atau bukanlah milik Felda.

"Segala tindakan bermula dari keputusan pelaburan, penubuhan syarikat-syarikat, pembelian hartanah, urusan statutori dan undang-undang syarikat, penyimpanan rekod yang betul dan pengisytiharan di dalam penyata kewangan boleh disiasat di bawah pelbagai peruntukan di dalam Akta Syarikat, Kanun Keseksaan, Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan pelbagai akta yang lain," katanya dalam laporan berkenaan.

Anggota parlimen Pandan itu juga mendakwa beliau telah menyemak geran-geran hakmilik hartanah-hartanah tersebut yang dikatakan dibeli di United Kingdom.

Katanya, warta rasmi Kerajaan BVI menunjukkan sebuah syarikat yang bernama sama telah dibatalkan pendaftarannya dalam bulan Mei 2016 dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada Felda masih memiliki hotel berkenaan.

Beliau mendakwa, penemuan ini menunjukkan kemungkinan besar hartanah Felda yang dibeli pada harga sekitar RM330 juta tidak pernah didaftarkan atas nama syarikat yang dimiliki oleh Felda.

Sebelum ini FIC mengesahkan kedua-dua syarikat, FIC London Hotel (Private) Limited dan FIC Global Limited (FGL) yang didaftarkan di BVI merupakan hak milik FIC sepenuhnya.

Pengerusi FIC, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim juga mengesahkan FIC London Hotel (Private) Limited merupakan pemilik tunggal Hotel Grand Plaza Kensington di London.

Menjawab tuduhan Rafizi mengenai status pelaburan FIC ke atas Hotel berkenaan, Syed Mohamed berkata, syarikat itu merupakan syarikat asal yang didaftarkan untuk pelaburan di UK.

“Apa yang berlaku, syarikat yang dinyatakan Rafizi adalah syarikat asal yang didaftar untuk tujuan pelaburan di UK. Akan tetapi, selepas pendaftaran syarikat tersebut, struktur pelaburan telah berubah.

“Jadi bagi memanfaatkan syarikat itu, syarikat lain terbentuk. Oleh itu, nama dua syarikat sebenarnya adalah berbeza, tetapi kelihatan sama. Syarikat dilepaskan (dibubarkan) adalah FIC London Hotel Pte Limited manakala yang masih beroperasi dan dipunyai 100 peratus FIC adalah FIC London Hotel (Private) Limited,” jelasnya.

Felda bincang tindakan saman terhadap Rafizi esok

Tiada syarikat baru ditubuhkan FIC di London

 

Lihat Komen