malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH: Dendam punca PAS 'gempur' Wisma Tok Guru
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 3:03 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

Tindakan PAS yang berhimpun di Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu semalam melambangkan imej parti itu yang kini dikuasai dendam politik, kata Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan Hazmi Hassan.

Beliau yang berada di tempat kejadian semalam menyifatkan tindakan itu sebagai provokasi dan hampir mencetuskan pergaduhan antara penyokong PAS dan AMANAH.

"Mereka tidak henti-henti bertakbir dan pada masa sama membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat. Pimpinan pemuda pula lari dari tanggungjawab dan berselindung di sebalik Unit Amal.

"Mereka sanggup melanggar peraturan demi nafsu dan dendam politik. Rakyat boleh menilai PAS hanya menggunakan Islam sebagai alat solek untuk menyembunyikan sifat sebenar mereka," kata Hazmi (gambar) menerusi Facebook, hari ini.

Kira-kira jam 9 malam semalam, lebih 150 penyokong PAS diketuai Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari berkumpul untuk memacak bendera di sekitar bangunan itu yang menempatkan pejabat AMANAH Kelantan dan naib presiden AMANAH Datuk Husam Musa.

Ahmad Fadhli dalam ucapannya semalam berkata, ia sebagai meraikan kejayaan awal PAS mendapatkan semula tanah tersebut selepas mendakwa membelinya daripada pemilik asal dengan harga RM700,000.

Ketegangan hampir tercetus apabila PAS enggan meminjamkan pembesar suara mereka kepada Hazmi yang berkata mahu meminta penyokong AMANAH bersurai.

Namun keadaan itu pulih semula dengan kawalan pihak polis yang meminta kedua-dua pihak bertenang.

Kemelut tanah dan bangunan itu bermula pertengahan bulan ini, apabila AMANAH Kelantan menerima notis mengosongkan bangunan yang dikeluarkan melalui nama pemilik asal tanah yang menempatkan bangunan itu.

Difahamkan, tanah itu milik balu kepada bekas ADUN Salor, allayarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim.

Husam sebelum ini berkata akan mencabar notis itu di Mahkamah, dan mendakwa Rosli memberi kebenaran bertulis kepadanya untuk menggunakan "bangunan dan tanah itu sampai bila-bila".

Hazmi turut mendakwa PAS mengerahkan beberapa ahlinya untuk menjaga wisma berkenaan pada pagi tadi kerana bimbang bendera parti itu akan dibuang.

"Kami tegaskan tidak akan mencabut bendera mereka, dan AMANAH akan menjunjung tinggi undang-undang yang ada," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan respon pimpinan PAS berhubung insiden semalam dan kenyataan Hazmi.

Lihat Komen