malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah benarkan reman Shafie dilanjut empat hari lagi
Diterbitkan:  Oct 23, 2017 2:29 PM
Dikemaskini: 7:57 AM
ADS

Mahkamah Majistret di Kota Kinabalu hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk melanjutkan tempoh reman terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selama empat hari lagi bermula esok.

Menurut portal Utusan Malaysia, keputusan tersebut dibuat Majistret Cindy Mc Juce Balitus di dalam kamar hakim pada jam 3 petang.

Mohd Shafie diwakili peguam Martin Tommy manakala pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abdul Hadi, Rustam Anip dan Mohd Faliq Basiruddin.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Mohd Shafie Apdal gagal mencabar keputusan penahanan reman ke atasnya Jumaat lalu oleh SPRM.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Ismail Brahim membuat keputusan di kamar selepas mendengar hujah SPRM bahawa reman yang dibuat sebelum ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah adalah terpakai di bawah Seksyen 3 Kanun Tatacara Jenayah.

Mohd Shafie ditangkap SPRM Khamis lalu bagi membantu siasatan terhadap penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebanyak RM1.5 bilion antara tahun 2009 hingga 2015.

Minggu lalu, SPRM juga menahan dua adik Mohd Shafie dan beberapa pemimpin WARISAN dalam siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan RM1.5 bilion dana pembangunan luar bandar yang diperuntukkan untuk negeri Sabah.

Jumlah RM1.5 bilion itu didakwa merupakan sebahagian daripada RM7.5 bilion dana yang dilaporkan diperuntukkan untuk projek pembangunan kawasan pedalaman Sabah untuk tempoh enam tahun.

SPRM menyiasat 60 syarikat yang diberikan projek untuk bekalan air, elektrik, dan jalan raya untuk membantu penduduk di pedalaman negeri itu.

Mohd Shafie memegang portfolio kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2009 hingga 2015. Beliau menafikan penglibatannya dalam skandal itu.

Lihat Komen