malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Speaker tolak 10 lagi soalan berkaitan 1MDB
ADS

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menyatakan rasa kesal dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat yang menolak lebih daripada 10 soalan anggota parlimen pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia jelas memperlihatkan percubaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperalatkan institusi parlimen khususnya berkaitan isu skandal 1MDB.

"Sidang media yang diadakan pada hari ini adalah untuk memaklumkan percubaan terkini kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib bagi menyembunyikan dan menggelapkan situasi sebenar 1MDB daripada diketahui umum.

"Saya kesal dengan keputusan Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang menolak empat pertanyaan jawab lisan saya.

"Ini mengulangi kembali tindakan yang sama pada sesi sidang yang lalu di mana hampir 30 soalan ahli parlimen yang berkaitan dengan skandal 1MDB telah ditolak dengan memberikan alasan yang tidak munasabah," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Berikut empat soalan yang dikemukakan oleh ketua pembangkang yang ditolak itu.

1) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta Perdana Menteri menyatakan mengapakah Peguam Negara masih tidak menjalankan pendakwaan jenayah dibawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) seperti yang disyorkan oleh Bank Negara Malaysia atas kesalahan 1MDB yang jelas melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sehingga dikenakan kompaun sebanyak RM 115.8 juta.

2) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta Menteri Kewangan menyatakan sejauh mana pematuhan oleh 1MDB terhadap arahan yang telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia supaya membawa pulang pelaburan RM 7.8 bilion setelah pembatalan 3 kebenaran yang telah diberikan dibawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) bagi pelaburan 1MDB diluar negeri.

3) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Perdana Menteri telah membangkitkan isu aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) agar dikembalikan kepada Malaysia ketika pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump; jika tidak perkara ini dibangkitkan minta Perdana Menteri menyatakan kenapa tidak berbuat demikian.

4) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail [ Permatang Pauh ] minta Perdana Menteri menyatakan kos yang ditanggung oleh kerajaan bagi membiayai urusan lobi menemui Presiden Donald Trump, serta perbelanjaan meliputi penginapan di Trump International Hotel bersama delegasi.

Melucukan

Pada sidang Dewan Rakyat Julai lalu, lebih daripada 30 soalan berkaitan 1MDB juga telah ditolak oleh Pandikar.

Turut hadir pada sidang media hari ini adalah anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad, anggota parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, anggota parlimen Sepang Hanipa Maidin, anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan anggota parlimen Kapar, G Manivanan.

Khalid berkata, meskipun soalan yang dikemukakannya agak mudah, tetapi tetap ditolak.

“Sebagai contoh, saya minta menteri keewangan nyatakan sebab-sebab denda yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1MDB, dia jawab, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan dgn apa-apa perkara rahsia.

"Bagaimana dia masih boleh takrifkan sebagai rahsia sedangkan persoalan itu telah dijawab oleh BNM sendiri kepada ketua pembangkang dengan penjelasan panjang lebar.

"Nampak sangat ia nak halang perbincangan dalam parlimen mengenai isu 1MDB," kata Khalid.

Bagi anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul adalah melucukan soalannya yang ingin tahu sama ada wang 1MDB berjumlah AS$1.83 bilion telah dibawa pulang ke negara dikategorikan sebagai rahsia.

"Ini lagi lucu. Saya bertanya kepada menteri kewangan sejauh manakah arahan BNM yang telah batalkan tiga kebenaran yang diberi kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan untuk pelaburan di luar negara bernilai AS$1.83 bilion dan membawanya balik ke Malaysia telah dilaksanakan.

"Saya tanya itu saja, wang itu dibawa balik atau tidak. Jawapannya, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh meminta keterangan berkenaan apa-apa perkara rahsia. Rahsia juga," kata Johari dengan senyuman.

Susulan daripada penolakan itu juga anggota parlimen pembangkang mengemukakan usul di bawah Peraturan 99 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menyemak dan menentang keputusan speaker.

Usul tersebut juga turut ditandatangani oleh lebih daripada 60 anggota parlimen pembangkang PKR, DAP, AMANAH, BERSATU dan WARISAN.

Namun, usul itu juga ditolak tanpa alasan.

Lihat Komen