malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Tanah runtuh bukti kedegilan kerajaan P Pinang'
ADS

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di George Town, adalah bukti kedegilan kerajaan DAP Pulau Pinang yang enggan mendengar keluh kesah rakyat berhubung pembangunan tanah tidak terkawal terutamanya di lereng bukit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata musibah itu dapat dielakkan sekiranya kerajaan negeri mendengar bantahan rakyat yang berulang kali menyuarakan agar projek di kawasan berkenaan dihentikan.

"Adun DAP Tanjung Bungah Teh Yee Cheu sendiri membantah, namun kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng tidak mempedulikannya. Sikap sebegini tidak menghairankan kerana Lim sendiri lebih suka memburukkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri terdahulu dalam segala hal berbanding menyelesaikan masalah dihadapinya.

"Akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat. Malang bagi kita di Pulau Pinang dapat kerajaan negeri sebegini," katanya dalam kenyataan, di George Town hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia Datuk Huan Cheng Guan menyifatkan kejadian tanah runtuh itu sebagai yang terburuk dalam sejarah tanah runtuh di Pulau Pinang.

Beliau turut mempersoal tindakan kerajaan negeri meluluskan projek berkenaan yang disifatkan merbahaya.

"Masalah ini telah dibangkitkan dalam Forum Pulau Pinang. Yang Berhormat Tanjung Bungah dan Persatuan Penduduk Tanjung Bungah juga bantah projek ini, jadi kenapa mereka berpura-pura tidak mendengar apa-apa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau turut mendakwa kerajaan negeri tidak mengikut garis panduan pembinaan bangunan 50 tingkat di lereng bukit itu yang mensyaratkan jarak selamat pembangunan di lereng bukit ialah 200 meter.

Huan turut meminta Suruhanjaya Siasatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan diwujudkan, dianggotai bukan hanya wakil kerajaan negeri malah pelbagai pihak termasuk wakil kerajaan persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan, keselamatan, alam sekitar dan sebagainya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Isahak menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk memanggil satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi membahaskan kejadian tanah runtuh itu supaya satu usul memberhentikan segera semua pembangunan di kawasan tinggi dan lereng bukit dapat dibentangkan.

Beliau berkata gesaan itu dibuat atas dasar keselamatan penduduk dan sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan serta nyawa rakyat di negeri ini, sidang DUN tergempar itu perlu menjadi kenyataan dan wajib disokong secara majoriti tanpa mengira ideologi politik.

"Satu keputusan rasmi melalui sidang DUN perlu dibuat agar menjadi suatu dasar mahu pun polisi kekal terhadap pemajuan di tanah tinggi serta lereng bukit agar kejadian ngeri tanah runtuh yang merupakan 'malapetaka pembangunan' dalam sejarah pembangunan di negeri ini dapat dikawal serta tidak berulang," katanya dalam kenyataan.

Rahmad berkata tidak perlu untuk menunggu sehingga sesi DUN akan datang yang dijangka November ini, kerana dikhuatiri insiden sama berlaku di kawasan bukit dan lereng bukit yang dihimpit kepesatan dan kepadatan pembangunan ditambah dengan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

-Bernama

Lihat Komen