Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Peter Bellew menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau meletakkan jawatan bukan kerana kehendak sendiri, sebaliknya ekoran campur tangan kerajaan dalam urusan syarikat.
"Sebagai pemimpin, (Mahathir) pada 1981 menjadi perdana menteri dan memberikan sumbangan besar kepada negara ini.
"Namun dalam dakwaan yang dibuatnya tentang saya pada 72 jam terakhir ini, beliau salah sepenuhnya. 100 peratus salah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata tiada sesiapa pun dari pihak Mahathir yang menghubunginya untuk mengesahkan keadaan sebenar berhubung perletakan jawatannya.
"Tiada siapa yang campur tangan dalam apa sahaja yang berkaitan pengurusan syarikat sepanjang dua tahun (beliau menjadi CEO)," katanya.
Menerusi tulisan di blognya Jumaat lalu, Mahathir mendakwa punca sebenar perletakan jawatan Bellew adalah campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, antaranya dalam isu pembelian sejumlah pesawat Boeing mencecah nilai AS$10 bilion.
Bellew sekali lagi menegaskan yang beliau sendiri memutuskan untuk meletakkan jawatan.
"Mudah sahaja, saya hanya mahu 'balik kampung', ke Ireland, kembali kepada insan tersayang.
Tiada misteri, tiada intrik. Tiada kontroversi sekitar perkara ini," katanya lagi.
[Berita lanjut menyusul]