malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'YB PAS sokong HARAPAN tak dicalonkan semula'
ADS

PAS bertegas mana-mana wakil rakyatnya yang dilihat cenderung menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan dicalonkan lagi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata naib presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau mengulas anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyuarakan sokongan kepada HARAPAN kerana dilihat lebih komited untuk perubahan politik berbanding Gagasan Sejahtera yang diketuai partinya sendiri.

Mohd Amar berkata, setiap anggota PAS perlulah bersama parti itu dan patut keluar jika menyokong HARAPAN.

"Mereka yang menentang parti secara terbuka ini tidak akan dicalonkan lagi. Mana-mana pun itu memang pendiriannya, parti mana pun tidak akan calonkan semula. Bukan PAS sahaja.

"Kita akan ganti dengan calon yang lebih baik di Pokok Sena," katanya ketika ditemui selepas program ceramah '27 tahun Membangun Bersama Islam' di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, malam tadi.

Sentimen sama turut disuarakan PAS Kedah semalam, apabila Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata mereka sudah mempunyai calon untuk menggantikan Mahfuz di kawasan parlimen Pokok Sena.

Mahfuz juga berkata beliau dan anggota PAS lain tidak perlu keluar parti semata-mata kerana menyokong HARAPAN.

Semalam, beliau bersama tiga lagi pemimpin PAS iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah, ADUN Kubang Rotan Mohd Nasir Mustapa dan ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman hadir Konvensyen Nasional 2017 Parti Amanah Negara (AMANAH) di Alor Setar, Kedah.

Ia bukanlah kali pertama mereka dilihat hadir ke program HARAPAN.

Nik Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, PAS tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Mahfuz kerana menyifatkannya sebagai masalah yang terlalu kecil.

"(Masalah) Mahfuz ini bagi kita terlalu kecil, dan pilihan raya juga sudah dekat. Buang masa saja," katanya.

Lihat Komen