Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menafikan wujud sebilangan kecil kad pengenalan yang "diragui" milik pengundi-pengundi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas yang tamat hari ini.
"Ada sebilangan kecil (pengundi) ditolak bukan kerana kad pengenalan palsu tetapi butir-butir dalam kad pengenalan diragui," jelas Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada malaysiakini sebentar tadi.
Beliau menjelaskan, bantahan calon-calon pembangkang siang tadi hanya melibatkan sejumlah kecil pengundi.
Bantahan sebelum ini tidak diterima SPR apabila mendapati daftar pemilih boleh diterima setelah ia dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang mengeluarkan kad pengenalan.
Apabila ditanya siasatan terhadap pengundi yang ditahan oleh jentera-jentera pilihanraya pembangkang dan diserahkan kepada polis, Wan Ahmad berkata, "mestilah, polis akan menyiasat."
Dalam proses undian pagi tadi, malaysiakini difahamkan sekurang-kurangnya dua orang pengundi disyaki memiliki kad pengenalan palsu.