malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan pikat bini orang, JASA minta Dzulkifli abai ugutan
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 11:22 AM
Dikemaskini: 3:29 AM
ADS

Ketua cabang propaganda kerajaan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Mohd Puad Zarkashi menamakan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai individu yang tidak dinamakan dalam satu artikel dan video berhubung tindakan seorang pegawai kanan SPRM cuba memikat isteri orang, yang merupakan satu kesalahan jenayah.

Beliau dalam satu laporan oleh Berita Harian hari ini dipetik sebagai berkata, fitnah itu disebarkan dengan harapan pihak SPRM akan takut untuk bertindak meneruskan siasatan.

"Saya mengecam pihak tidak bertanggungjawab, yang cuba memfitnah Ketua Pesuruhjaya SPRM dengan cerita sensasi yang keterlaluan.

"Semua itu bertujuan untuk mengugut Zulkifli Ahmad dan SPRM daripada bertindak tegas dalam memerangi rasuah, apatah lagi apabila ia membabitkan tokoh ternama dan politik tertentu.

"Saya berharap beliau dan SPRM tidak akan berkompromi dengan taktik ugut dan fitnah berkenaan," katanya.

Akhbar berbahasa Cina Sin Chew Daily, minggu lalu mendedahkan satu laporan difailkan oleh seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun, dengan ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju.

Ia juga memetik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif sebagai berkata, kes dirujuk kepada Bukit Aman.

Kes berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas tuduhan “memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks .”

Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga adalah Ahli Majlis Tertinggi Umno, mendakwa ada pihak yang sudah panas duduk akibat ketegasan SPRM dalam memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Saya berharap pihak pembangkang khususnya, supaya keluar dari kotak lama iaitu orang kerajaan sahaja yang rasuah dan layak didakwa.

"Mereka pula seolah olah kebal dan tidak boleh didakwa. Kalau didakwa itu adalah konspirasi politik.

"Saya turut menyeru supaya rakyat dapat mempertahankan ketegasan SPRM," katanya lagi yang dipetik Berita Harian.

Lihat Komen