malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Saya kecewa jika Kementerian Kewangan tak tersenarai'
Diterbitkan:  Oct 17, 2017 9:12 AM
Dikemaskini: 2:55 AM
ADS

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata beliau akan terkejut dan kecewa sekiranya Kementerian Kewangan tidak tersenarai sebagai antara kementerian paling bermasalah.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang kini di peringkat akhir memuktamadkan senarai ranking kementerian berdasarkan kedudukan isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya begitu teruja dan ternanti-nanti akan pengumuman yang akan dibuat oleh SPRM nanti tetapi pasti akan kecewa sekiranya Kementerian Kewangan tidak disenaraikan sekali antara kementerian yang paling bermasalah.

"Semua rakyat Malaysia sudah sedia maklum bahawa skandal kewangan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan berbilion ringgit merupakan jenayah yang melibatkan anak syarikat Kementerian Kewangan.

"Bukan itu sahaja, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga terlibat berhubung isu penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta oleh pegawai kanan kementerian itu," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil semalam berkata senarai berkenaan akan diumumkan selewat-lewatnya November ini.

Menurut Aminuddin, beliau berharap SPRM akan memaklumkan kaedah dan sistem digunapakai untuk menilai sesebuah kementerian dalam menentukan ranking rasuah dan salah guna kuasa supaya badan itu tidak hanya 'syok sendiri'.

"Jika kayu pengukur yang digunakan itu telus, ia hendaklah diguna pakai secara berterusan agar setiap kementerian dapat memperbaiki kedudukan prestasi di samping menjadikannya lebih bersih dan amanah di mata rakyat," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan menafikan kaitannya dengan penyelewengan 1MDB.

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali juga membebaskan Najib daripada sebarang tuduhan salah laku dalam kes berkenaan dan isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Lihat Komen