malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MCKIP: 'Tembok' untuk kilang keluli saja, tiada pencemaran
ADS

Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) menjadi pembicaraan umum susulan laporan khas tiga bahagian Malaysiakini yang antara lainnya menyoroti operasi dan penguasaan China terhadap infrastruktur tempatan dan isu keprihatinan alam sekitar.

Susulan laporan Malaysiakini, MCKIP mengundang portal berita ini untuk sesi taklimat yang mana ia menjawab isu-isu yang dibangkitkan, termasuklah tembok perimeter yang mengelilingi tapak MCKIP di Gebeng yang mana dirujuk masyarakat setempat sebagai 'Tembok Besar China di Kuantan'.

Dilancarkan secara rasmi pada 5 Februari 2013 MCKIP dimiliki sebanyak 49 peratus oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co Ltd, sebuah syarikat China yang dipunyai kerajaan Guangxi Autonomous Region.

Manakala sebanyak 51 peratus pegangan MCKIP dimiliki oleh Kuantan Pahang Holding Sdn Bhd, yang mengandungi IJM Land Bhd, Sime Darby Property Bhd dan kerajaan Pahang.

Ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan IJM Corporation Berhad Soam Heng Choon (gambar bawah) menjelaskan tembok perimeter itu tidak memasukkan keseluruhan tapak kawasan MCKIP tetapi hanya terhad kepada kompleks Alliance Steel (M) Sdn Bhd.


Alliance Steel ialah syarikat usahasama di antara dua entiti China - Guangxi Beibu Gulf Port International Group Co Ltd dan Guangxi ShengLong Metallurgical Co Ltd - telah membeli 710 ekar daripada 1,219 ekar tanah fasa pertama MCKIP bagi membina kilang keluli yang moden dan bersepadu.

Wakil rakyat setempat yang dihalang masuk bersungut soal kerahsiaan di sebalik tembok besar perimeter setinggi lapan kaki itu, yang mana berdasarkan imej satelit jaraknya diukur sepanjang sembilan kilometer.

Ketika Malaysiakini meninjau tapak tersebut, didapati pintu masuk tembok perimeter itu dijaga para pengawal keselamatan rakyat tempatan dan warga China. Manakala para pekerja di dalam pula memberitahu kerja-kerja pembinaan didominasi buruh dari China.

Berhubung hal ini, Soam berkata MCKIP pernah mengundang wakil-wakil rakyat setempat ke ruang pameran MCKIP tetapi tapak di sebalik tembok perimeter itu dipunyai Alliance Steel yang memerlukan kelulusan syarikat itu untuk masuk dan bukan daripada MCKIP.

"MCKIP tidak dipagarkan, apa-apa yang dipagar sekarang ini ialah kawasan Alliance Steel yang merupakan satu yang berbeza dengan MCKIP.

"Sesiapapun yang mahu masuk ke dalam, tentulah perlu mendapatkan kebenaran daripada entiti persendirian itu. MCKIP tidak ada kuasa untuk memberi kebenaran kepada kamu untuk masuk ke tapak Alliance Steel," katanya.


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang dalam laporan khas Malaysiakini mendakwa ia suatu hal yang luar biasa untuk tembok perimeter memagari sekeliling tapak yang luas sebagaimana kawasan perindustrian biasa yang mana pagarnya hanya terhad kepada kilang-kilang persendirian.

Bagaimanapun Soam menunjukkan tanggapan ini muncul kerana Alliance Steel secara bersendirian menduduki sebuah kawasan yang sangat luas, lantaran itu memiliki hak untuk membina tembok perimeter memagari premis persendiriannya.

"Sebuah kilang menduduki sebidang tanah yang sangat luas, lebih dari 700 ekar, ia memang jarang berlaku di Malaysia dan kerana itu beliau (Sim) mungkin berfikir demikian," katanya.

Soam enggan mengulas isu berkenaan sejumlah besar para pekerja China di sebalik tembok itu atau sumber bahan pembinaan, dengan menyatakan MCKIP bukan dalam kedudukan untuk membuat kenyataan bagi pihak Alliance Steel.

Soam berkata MCKIP hanya menjual tanah itu kepada Alliance Steel dan tidak campur tangan dalam operasinya.

Menurut jawapan bertulis kerajaan Pahang di dewan undangan negeri, 50 peratus bahan pembinaan dibekalkan dari China dan 50 peratus lagi dari sumber tempatan manakala para pekerja pula diambil berdasarkan nisbah tiga warga asing bagi setiap dua orang pekerja tempatan.

Bagaimanapun, mereka yang bekerja di dalam tembok besar itu memberitahu Malaysiakini kadar nisbah pekerja China itu sangat tinggi.

Soam turut menjawab persoalan bahawa kilang-kilang yang akan didirikan di dalam MCKIP, yang dibina sebanyak tiga fasa itu akan datangnya daripada industri dengan tahap pencemaran yang tinggi.

Kerajaan Pahang membayangkan selain daripada kilang berteknologi tinggi Alliance Steel, syarikat-syarikat lain yang akan mendirikan kilang di situ termasuklah kilang aluminium dan pengeluar bateri kereta.

ADUN Semambu Lee Chean Chung telah menyoal sama ada China mengeksport keluar kilang-kilangnya yang berpencemaran tinggi itu di tengah-tengah tindakan agresif Beijing untuk membersihkan alam sekitar negara itu, yang menyaksikan ia mengurangkan penggunaan bahan bakar arang batu dan mengarahkan penutupan kilang-kilang aluminium yang tidak mematuhi piawaian perlindungan alam sekitar.


'China tak benarkan eksport pencemaran'

Soam menekankan bahawa bukan begitu duduk perkaranya, lantas berjanji MCKIP tidak akan menerima kilang-kilang berpencemaran tinggi yang diarah ditutup di China.

"Apa yang tidak diterima di China, kami juga tidak mahukannya.

"Keduanya, syarikat-syarikat (yang ditubuhkan di dalam MCKIP) memerlukan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan kelulusan (oleh Jabatan Alam Sekitar). Jika mereka tidak mendapat kelulusan, mereka tidak akan dibenarkan untuk mendirikan kilang mereka di sini," katanya.

Beliau menambah kerajaan Malaysia juga telah menjelaskan kepada para pelabur berpotensi bahawa ia tidak mahu industri-industri berpencemaran tinggi dalam MCKIP.

Soam turut memberi penjelasan berkenaan kilang-kilang khusus yang telah dan akan didirikan di dalam MCKIP, termasuklah kilang Alliance Steel.

Kilang keluli itu, katanya berasaskan teknologi maju yang dapat mengurangkan hal pencemaran yang berkenaan.

Misalnya, kata beliau rangkaian pengangkutan khas akan dibina dari Pelabuhan Kuantan ke kilang keluli itu, membolehkan bijih besi dipindahkan secara langsung ke kemudahan tersebut.

"Sebuah rangkaian pengangkutan khas akan menghantar (bijih besi) ke kilang keluli itu dan ia tidak akan diangkut dengan lori bagi mengelakkan pencemaran," katanya.

Tambahnya bijih besi akan datang dari sumber tempatan dan luar negara.

Berhubung dengan kilang aluminium yang bakal dibina, Soam berkata ia akan memfokuskan terhadap proses pengeluaran penyemperitan hiliran yang tidak berpencemaran tinggi seperti proses peleburan.

"Ia bukannya peleburan, ia akan memproses produk-produk hiliran aluminium.

"Kami tidak akan mengalu-alukan sebarang industri yang tidak dimahukan China dan akan turut memastikan mereka patuh dengan kesemua syarat-syarat alam sekitar di Malaysia," katanya.

Soam berkata para pelabur untuk kilang aluminium itu ialah Guangxi Investment Group Co Ltd, yang merupakan syarikat kerajaan yang dikawal oleh Guangxi Autonomous Region di China, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM600 juta.

Syarikat itu akan mengambil baki tanah dalam fasa satu MCKIP yang tidak miliki Alliance Steel.

Baki tanah dalam fasa satu juga akan dikongsi dengan beberapa para pelabur baru termasuklah Prinx Chengshan (Shandong) Tire Company Ltd untuk kilang pembuatan tayar, Guangxi Zhongli Enterprise Group Co Ltd untuk membuat kilang pembuatan Clay Porcelain dan Sichuan Migao Chemical Fertilizer Industry Co Ltd dengan kilang membuat baja Potash (garam kalium).

Tambahnya, sebuah syarikat pelabur telah mendaftar untuk fasa kedua MCKIP, iaitu Maxtrex Tyre Limited yang akan membina kilang mengeluarkan tayar jejarian untuk kereta penumpang.

'Anak tempatan uruskan Pelabuhan Kuantan'

Soam juga menyentuh rungutan mengenai rakan usahasama MCKIP Guangxi Beibu yang juga mengawal pegangan saham sebanyak 40 peratus dalam Kuantan Port Consortium Sdn Bhd yang merupakan pemilik Pelabuhan Kuantan. Manakala IJM Corporation Berhad mengawal lebihan baki pegangan sahamnya.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menggambarkan pemilikan asing dalam Pelabuhan Kuantan yang menghadap ke Laut China Selatan itu, yang juga dituntut sebahagian besar wilayahnya oleh China sebagai 'ancaman kepada keselamatan negara'.

Berhubung dakwaan tersebut, Soam menjelaskan walaupun syarikat China memiliki pegangan saham dalam Pelabuhan Kuantan, ia tidak terlibat dalam operasi biasa kemudahan itu.

"Orang yang mengendalikan pelabuhan itu terdiri daripada pihak IJM dan pasukan daripada Kuantan Port Consortium.

"Sementara untuk Guangxi Beibu pula, kami hanya bergantung dengan kepakaran mereka dalam hal-hal tertentu," katanya.

Berhubung persoalan China akan menempatkan aset-aset ketenteraan di pelabuhan itu, Soam berkata jika hal itu berlaku, orang ramai akan melihatnya sendiri.

"Tambahan pula, setakat ini, tidak ada permintaan dari tentera China bagi kapal perang mereka untuk berlabuh di sini," katanya.

Guangxi Beibu dan IJM Corp telah melabur sejumlah RM4 bilion untuk membina sebuah terminal laut dalam di pelabuhan itu bagi memenuhi kegiatan perindustrian yang semakin bertambah - termasuklah MCKIP, yang dijangka siap menjelang tahun hadapan.

Baca laporan khas:

Bahagian 1: Misteri ‘Tembok Besar China’ di Kuantan

Bahagian 2: Antara peniaga tempatan dan restoran tanah besar di Kuantan

Bahagian 3: China rangsangkan Kuantan, tapi apa harganya?

Lihat Komen