malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M, bekas IGP dijemput cakap pasal Ops Lalang
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 5:19 PM
Dikemaskini: 9:27 AM
ADS

Penganjur acara memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang menjemput bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar ke program mereka.

Mereka berpendapat forum pada 29 Oktober itu adalah peluang bagi Mahathir dan Hanif menjelaskan cerita di sebalik Ops Lalang.

Pada 27 Oktober 1987, polis menahan seramai 106 orang termasuk antaranya aktivis, pemimpin pembangkang, anggota kesatuan sekerja dan guru.

Sebahagian mereka, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, ditahan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Mahathir adalah perdana menteri dan menteri dalam negeri manakala Hanif adalah ketua polis negara pada masa itu.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata mereka berpeluang bercakap bersama tahanan lain seperti aktivis dan bekas anggota parlimen Kua Kia Soong, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim dan Pengerusi AMANAH Mohamad Sabu.

Forum bertajuk "Operasi Lalang 1987: My Side of History" itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Selain Suaram, penganjur bersama lain ialah Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH, Amanah Teoh Beng Hock Untuk Demokrasi dan Pemuda KLSCAH.

Penyelaras Suaram, Amir Abd Hadi, berkata penganjur bukan mahu mengkritik Mahathir dan Hanif, tetapi hanya mahu mereka menjelaskan keadaan.

Sementara itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata acara itu penting kerana ia merupakan peringatan bahawa penahanan besar-besaran tanpa bicara tidak boleh berulang.

"Kita tidak boleh lupa, kita tidak boleh benarkan kejadian seperti itu berlaku lagi," katanya.

Lihat Komen