malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN BN ternampak celaru kerana tak dapat menentukan Pakatan Harapan ini didominasi oleh siapa.

Najib Razak dan Umno berhempas pulas mendakwa jika HARAPAN menang, DAP dan Lim Kit Siang akan mengambil alih negara ini.

Ini juga yang diulangi oleh ketua penerangan Umno. Bila ditanya bagaimana Najib boleh ada 2.6 bilion ringgit dalam akaunnya, Annuar jawab DAP akan kuasai HARAPAN.

Tak tahulah kerana tak dapat dengarkah atau telinga tersumbat dengan dedak, tetapi yang jelas ialah segala pertanyaan berkenaan 1MDB atau 2.6 bilion, jawapannya ialah DAP yang mendominasi HARAPAN dan Kit Siang akan jadi perdana menteri.

Sebaliknya MCA pula mendakwa Kit Siang sudah jual dirinya dan DAP kepada BERSATU.

Ini disusuli dengan Raja Petra Kamarudin (RPK) yang mengumumkan kepada dunia bahawa Dr Mahathir telah sogok Kit Siang dengan satu bilion Ringgit.

Wah! Kayanya saya. Tetapi saya tak gila macam RPK. Kalau saya ada 1 bilion, saya akan bina mahligai dan bukan rumah biasa yang diduduki oleh saya.

Jangan tanya saya dari mana saya dapat satu bilion. Tanya RPK. Jawabnya mungkin Arab bagi. Jika dia tahu saya boleh bagi satu bilion Ringgit kepada Kit Siang dia tentu tahu dari mana saya dapat duit itu.

Yang diketahui umum ialah dari mana RPK dapat duit.

Yang perlu ditentukan oleh BN ialah siapa beli siapa. Kit Siang beli saya atau saya beli Kit Siang di Malaysia.

Bekas wakil Transparency International di Malaysia pula cukup telus dan transparent. Tentulah dia nampak duit satu bilion yang ada pada saya.

Dinding setebal 10 kaki pun, matanya boleh tembusi. Apatah lagi duit kertas.

Apalah sangat saya ini yang nak ditakuti. Umur sudah 92 tahun. Tak ada duit pun. Jauh sekali nak sogok Kit Siang dengan satu bilion ringgit pun.

Tak pernah bangun apa pun. Tak dilayan seperti Najib oleh Presiden Amerika. Tak dapat sogok Donald Trump dengan 90 bilion ringgit.

Tidak dipeluk oleh presiden kuasa dunia terbesar kerana menyelamatkan ekonomi Amerika Syarikat.

Namun saya bangga. Belum ada perdana menteri Malaysia yang mampu menyelamatkan kuasa dunia. Tetapi sekarang ada.

Tahniah kepada kerajaan dan Najib dan menteri-menteri BN. Kamu sudah “put Malaysia on the world map”. Tahniah.

Teruskan dengan kecelaruan. Tubuhkan satu lagi 1MDB. Hutang berbilion lagi. Percayalah kamu akan disokong oleh konco-konco kamu selama-lamanya.

Tahniah, congrats Najib.

We are so proud of you.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta bekas perdana menteri keempat.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen