malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MBPJ izin Padang Timur jadi lokasi himpunan
ADS

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak ada halangan dan membenarkan penganjuran himpunan antikleptokrasi oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata Padang Timur yang menjadi lokasi tapak himpunan tersebut adalah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Padang itu memang kita tiada halangan. Kita beri kebenaran kepada penganjur untuk adakan di Padang Timur. Jadi tak ada isu dengan kita.

“Kegunaan padang itu di pihak majlis sebab ia milik majlis, kita pemilik tanah, jadi kita benarkan,” kata Mohd Azizi kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Inovasi peringkat negeri di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Mohd Azizi berkata demikian bagi mengulas keputusan polis tidak membenarkan Padang Timur digunakan bagi himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi pada 14 Okt ini.

Mengulas lanjut Mohd Azizi berkata MBPJ juga akan menugaskan pegawai mereka bagi mengawal lalu-lintas di kawasan tersebut sekali gus mengelak berlakunya masalah trafik.

“Oleh kerana Padang Timur itu kawasan kita, kita akan pastikan penguat kuasa jaga trafik,” katanya.

Elak kesesakan, gangguan

Disoal berhubung tindakan undang-undang yang bakal dikenakan terhadap penganjuran himpunan itu, Mohd Azizi berkata ia terserah kepada penganjur.

“Itu atas penganjur bukan kita. Kita bagi kebenaran untuk himpunan,” kata Mohd Azizi.

Mohd Azizi juga berkata tidak ada sebarang aduan orang ramai berhubung penganjuran himpunan tersebut.

“Semua itu tak ada,” katanya.

Tambah Mohd Azizi lagi, MBPJ juga tidak ada masalah untuk peniaga membuka perniagaan di kawasan berkenaan pada hari himpunan bermula jam 4 petang itu berlangsung.

Malahan katanya MBPJ juga memberikan permit kepada peniaga yang membuka perniagaan di situ.

Cuma katanya berhubung penguatkuasaan di pihak polis MBPJ menyerahkan hal itu kepada badan berkenaan.

“Dari segi polis, itu kena tanya polis,” kata Mohd Azizi.

Sementara itu, Azmin berkata penganjur masih meneruskan perbincangan dengan polis bagi memastikan himpunan berkenaan berjalan dengan lancar dan aman.

“Daripada maklum balas dan laporan yang saya terima, mereka akan teruskan mengadakan perbincangan untuk menjamin keselamatan dan juga tidak berlaku kesesakan atau gangguan," katanya.

Timbalan Presiden HARAPAN Mohamad Sabu dalam sidang medianya semalam menegaskan mereka tetap meneruskan himpunan antikleptokrasi itu di walaupun polis tidak membenarkannya.

Lihat Komen