malaysiakini logo
story-image
ADS

SATIRA | Generasi hari ini sudah habis. Semuanya tertumpu kepada mahu menjadi kaya dan tampan/cantik tanpa perlu memikirkan cara bagaimana untuk mencapainya.

Adalah wajib bagi mereka berusaha keras demi mencapai apa yang mereka kenal pasti sebagai matlamat dalam kehidupan yang mesti tayang ini.

Mereka berlumba-lumba untuk menjadi tampan dan bertubuh sasa atau cantik, putih dan gebu untuk dipertontonkan. Malang yang ini tidak mengira dari mana datangnya pelajaran yang mereka terima. Baik dari sekolah kebangsaan atau pun yang menerima pendidikan agama yang asas.

Setelah masuk ke ruang remaja, matlamat mereka ialah menjadi cantik dan kaya, tampan dan pejal, atau mereka rela mati berusaha mendapatkannya.

Mereka berusaha untuk mengembara hanya kerana berpeluang memperagakan kejayaan itu di media sosial. Itu sahaja matlamatnya. Lalu berlumba-lumbalah remaja ke sana ke mari menggalas beg besar hanya untuk berswafoto. Kembara keseluruh dunia hanya untuk mendapat Like.

Malang sekali terdapat ramai remaja yang berhutang kerana ingin keluar negara dan dapat memakai baju tebal berbulu-bulu dan berguling di dalam salji. Memakai baju tebal berbulu-bulu adalah kenikmatan abadi kepada sesetengah mereka dan jika bucket list ini tercapai, mati pun sudah tidak apa-apa.

Kegagalan untuk keluar negara adalah kehinaan paling bawah. Jika garis masa di Facebook atau Instagram kamu tidak ada sekeping pun foto kamu keluar negara, maka seluruh keturunan kamu menanggung malu yang teramat.

Persekitaran sedikit pun tidak membantu mereka daripada terjerumus ke dalam kancah yang amat merosakkan ini. Yang diberi ruang untuk memperkenalkan diri adalah kekayaan dan kecantikan.

Di semua media yang tercapai dek tangan, kekayaan dan tampak bergaya diberikan ruang tanpa had. Betapa malang bagi sesiapa pun yang dilahirkan hitam dan bergigi jongang. Betapa hinanya menjadi sederhana. Semua wajib menjadi flamboyant.

Semua wajib memperagakan apa sahaja milik mereka dan yang terlebih mahal adalah yang terlebih bagus.

Tambah terkenal dan kaya

Sehinggakan mak cik yang entah dari mana datang kekayaannya itu diraikan sebagai simbol kejayaan abadi, diberi ruang dalam setiap media. Dari kisah kemewahan sehingga kepada kisah dalam selimut - semua jadi bahan berita.

Entah apa yang diharap apabila kesesatan dalam hidup ini digembar-gemburkan, diberi perhatian semua media.

Kita tidak lagi rasa bersalah apabila menjadikan seorang badut sebagai raja atau jika kamu mahu, sebagai ratu suri teladan.

Orang menyalahkan budak yang membuka klinik gigi di bilik hotel setelah mempelajarinya di YouTube, tetapi tidak siapa pun yang menyalahkan para pelanggannya.

Mengapa tidak didakwa juga pelanggan tersebut kerana menyokong kerja-kerja sumbang?

Dek kerana pentingnya menjadi kaya, maka budak yang membuka klinik itu melakukan kerja-kerja tersebut. Apakah faktor yang lebih penting selain wang sehingga beliau berasa bangga apabila dilepaskan daripada tanggungjawab melakukan kesalahan?

Tanpa ada malu maka beliau dengan bangga memperlekeh mereka yang berang atas perbuatannya sambail berkata yang dia kini tambah terkenal dan bertambah kaya.

Dengan sokongan beberapa kumpulan yang belum sempat berfikir akan akibat perbuatan mereka itu, beliau kini bebas. Kita juga tidak faham mengapa setiap perbuatan salah di negara ini pasti akan ada pembelanya.

Mungkin kerana mahukan publisiti atau seperti yang kita katakan - memperagakan apa sahaja ‘kebaikan’ di media sosial adalah inti pati apa juga kumpulan yang mahu dilihat sebagai hero dan diberikan hak untuk berbangga-bangga.

Kebetulan bercakap, hari ini kebaikan juga adalah untuk tontonan. Beli kerepek pisang daripada mak cik di tepi jalan dianggap sebagai bakti yang menyelamatkan. Dihebohkan kepada dunia untuk sedikit pujian.

Tokoh agama juga tidak merasa bersalah bercerita bagaimana mereka menolong perempuan miskin dan dihebahkan di media sosial padahal ini adalah keaiban.

Sahabat nabi yang memikul tepung dan memasak makanan kepada anak-anak yatim itu tidak sendiri menceritakan kepada orang ramai mengenai peristiwa tersebut kerana tentu beliau malu atas kelemahan mentadbir.

Apa yang dimahukan ialah sedikit kekesalan daripada pihak beliau (doktor gigi yang palsu) dan menutup mulut sehingga semua orang lupa akan kesilapan yang dilakukan. Bukan memperolok-olokkan orang banyak.

Namun mengharap remaja masa kini kesal atas perbuatan jahat mereka adalah kehampaan. Mereka cuma kesal ditangkap.

Mereka yang menjadi pelanggan pula tentu sahaja melakukannya untuk kelihatan cantik tanpa peduli siapa atau apa cara sekalipun dengan tidak mempersoalkan betul tidak tindakan mereka.

Namun seperti yang dikatakan tadi, remaja masa kini sudah 'habis'. Kehidupan mereka hanya untuk kelihatan bergaya. Langsung tidak ada apa yang boleh dilakukan kepada mereka kerana paksi kehidupan yang sempurna telah diasak ke dalam jiwa secara salah.

Apa yang boleh dilakukan ialah bersabar dan berharap kita semua mati sebelum dapat melihat betapa hancurnya mereka sedikit masa lagi.

Opps! Sebelum lupa, budak-budak weskot dan baton bercahaya pun sama juga. Terjebak dalam berlumba-lumba mahu memberitahu dunia tentang betapa mulianya kehidupan seharian mereka. Orang lain semua liberal, semua sekular.

Dan saya tidak tahu apa agaknya yang digelarkan mereka pada saya jika budak-budak weskot dan baton bercahaya ini tahu yang saya ini gemar memakai baju sendat berwarna samar (merah jambu) dan berseluar sedikit ketat.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen