malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak makan dadah lebih baik dari pecah botol bir
ADS

ULASAN l Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan bir (festival bir Oktoberfest) oleh orang bukan Islam.

Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak diharamkan minum alkohol atau bir hendak minum bir sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya, memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu/ Islam yang terlibat dengan dadah? Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah? Apakah ini juga takdir. Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu/ Islam menolak dadah?

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amar ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum bir.

Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol bir di hadapan pejabat MB, marahlah.

Oktoberfest, perayaan minum bir pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum bir dalam Oktoberfest mereka.

Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum bir dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol bir.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Rencana ini disiarkan pertama kali di blog Dr Mahathir. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen