malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Miliki 6.009 kg pil kuda, lelaki Thai dijel 11 tahun
ADS

Seorang lelaki dari Thailand dihukum penjara 11 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini atas kesalahan memiliki 6.009 kilogram (kg) dadah jenis metaphetamine atau pil kuda.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Awae E-sor (gambar: baju putih, kiri), 37, mengaku salah atas tuduhan pilihan yang dikemukakan.

Ahmad dalam keputusannya itu juga membebaskan dua lagi rakan tertuduh, Syazwan Salim @ Lim Lai Cheong, 27, dan Masawee Mamah, 52.

Ahmad berkata, mahkamah mengambil kira semua faktor termasuk pengakuan salah tertuduh dan keseriusan masalah dadah dalam negara ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga mereka bernasib baik kerana terlepas hukuman mati berbanding pertuduhan asal membabitkan pengedaran dadah yang dikenakan.

"Kamu masih berpeluang berubah di penjara nanti dan kamu berdua pula (tertuduh yang bebas) perlu bertaubat mulai sekarang dan kembali ke pangkal jalan.

"Kamu semua Islam, agama pun menentang semua perkara-perkara haram (dadah)," katanya.

Rayuan tertuduh ringankan hukuman

Mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas memiliki bahan terlarang terbabit dalam sebuah van bernombor pendaftaran Thailand di garaj sebuah rumah di Kampung Bagus Rantau Panjang, Pasir Mas, pada jam 3.10 petang, 23 Februari 2016 lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minima lima tahun dan minima 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Ahmad mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri Shaharaliza Ab Razak, manakala tertuduh diwakili peguam bela Muhammad Hasif Hasan.

Terdahulu, Awae melalui Muhammad Hasif mengucapkan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan mahkamah kerana menukarkan pertuduhan itu.

Dia turut merayu supaya hukuman diringankan dengan alasan mempunyai empat anak yang berusia antara lima hingga 16 tahun yang sedang bersekolah.

"Tertuduh merupakan penyumbang utama keluarga melalui pendapatannya sebagai penoreh getah.

"Isteri tertuduh pula tidak bekerja dan turut menanggung ibu bapanya," kata Muhammad Hasif.

Sementara itu, Shaharaliza sebelum itu mencadangkan agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius walaupun pertuduhan sudah ditukar daripada mengedar kepada memiliki.

"Elemen kecaman perlu ditekankan dalam hukuman, dengan jumlah dadah yang sangat banyak, mahkamah perlu sampaikan mesej yang jelas untuk menunjukkan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

"Kepentingan awam perlu diutamakan daripada kepentingan peribadi tertuduh. Betapa seriusnya jenayah dadah di negeri ini hingga meletakkannya pada tangga kedua tertinggi di seluruh negara dan menular pula pada kanak-kanak seawal usia 12 tahun.

"Pelbagai kesalahan jenayah berlaku dalam negara disebabkan dadah," katanya.
 

Lihat Komen