malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Menteri tolak program sejarah DAP di sekolah
ADS

Menteri Pendidikan Malaysia Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan DAP tidak sama sekali dibenar mengadakan acara berkaitan “Pulau Pinang dan DAP” di sekolah.

Tambahan lagi, katanya, apa yang ingin dilakukan tidak mempunyai tujuan jelas dan lebih kepada provokasi.

“Jadi, kalau nak buat sengaja nak mengejek ini tak bolehlah.

“Sebab kalau nak buat ini kita kena ada tujuan yang khususlah ,” kata Mahdzir dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Putrajaya, Presint 17, Putrajaya hari ini.

Pemimpin pemuda DAP Joshua Woo pada 6 Oktober lalu memohon mengadakan acara berkaitan sejarah “Pulau Pinang dan DAP”, susulan penganjuran acara kontroversi bertemakan Umno di Putrajaya.

Woo menulis permohonan rasmi kepada Jabatan Pendidikan Pulau Pinang untuk menganjurkan acara itu pada Mac tahun depan sempena ulang tahun pentadbiran 10 tahun DAP di Pulau Mutiara.

Atas kapasiti peribadi, beliau turut mahu mengetengahkan kemajuan pesat negeri dalam tempoh itu.

Memetik Sinar Harian, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Shaari Osman menolak permohonan itu atas alasan tidak lengkap.

Sementara itu, Mahdzir yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata DAP adalah sebuah parti politik yang tidak berkaitan dengan kemerdekaan negara seperti Umno.

“Samalah dengan parti politik lain. Tapi sekurang-kurangnya Umno itu ada sedikit sebanyak kena dengan kemerdekaan,” kata Mahdzir.

Perkenal pada anggota badan

Terdahulu Mahdzir hadir ke majlis pelancaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (Peers) @ Prasekolah di SK Putrajaya, Presint 17.

Lebih 200,000 kanak-kanak prasekolah di seluruh negara akan mengikuti program itu secara serentak bermula pada 9 Oktober lalu.

Mahdzir berkata kanak-kanak prasekolah yang terlibat adalah dari 11,000 kelas prasekolah di seluruh negara termasuk kelas prasekolah Kementerian Pendidikan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Melalui Peers, murid prasekolah akan diperkenalkan dengan anggota badan masing-masing termasuk organ genital lelaki dan wanita.

“Perkara penting yang perlu diterapkan pada peringkat umur ini ialah pendidikan mengenai sentuhan selamat, sentuhan tidak selamat dan sentuhan tidak selesa,” katanya.

Lihat Komen