Pengiklanan

    Umno ambil pendekatan 'bersaudara' dengan PAS Kelantan

    (Dikemaskini )

    Walaupun bahang pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) semakin terasa, Umno Kelantan memilih untuk tidak menghentam kerajaan negeri di bawah pemerintahan parti PAS yang sejak puluhan tahun lalu menjadi seteru politiknya.

    Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya kini mengambil pendekatan bertanggungjawab dan tidak menghentam terlebih dahulu.

    "Semua kita bersaudara. Seperti saya sebutkan di Pasir Mas (sebelum ini), kita bersaudara - Islam dan Melayu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Umno negeri itu di Kota Bharu, hari ini.

    Menurut menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu Umno Kelantan tidak mahu timbulkan perasaan marah atau pun perbalahan dengan PAS.

    "Cuma apabila berlaku kelemahan, sudah tentu kita bangkitkan," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pendekatan Umno Kelantan yang kini dilihat tidak lagi mengambil langkah menyerang prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang sekarang diketuai Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

    Mustapa yang juga anggota parlimen Jeli berkata, Umno Kelantan mengambil maklum mengenai rasa tidak puas hati rakyat negeri itu terhadap kerajaan negeri.

    Antara isu utama yang meresahkan penduduk Kelantan, katanya, ialah masalah bekalan air bersih yang masih berlarutan sekian lama.

    "Ladang Rakyat pun senyap-sunyi, tak ada penerangan apa-apa. Rakyat berhak mengetahui masalah hasil di Kelantan.

    "Hasil emas atau lain-lain, kita nak tahu lebih banyak lagi (mengenai) pembelaan terhadap anak muda, isu perumahan dan pekerjaan," katanya.

    Bukan lima tahun

    Kenyataan Mustapa itu dibuat kurang dari seminggu selepas seorang lagi tokoh Umno Kelantan mendakwa PAS dan Umno memiliki DNA yang sama.

    Menurut Tan Sri Annuar Musa walaupun kedud-dua parti menjunjung ideologi dan cara berbeza, mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

    Katanya, jika dulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, namun di bawah pucuk kepimpinan yang ada sekarang berlaku sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

    "Oleh kerana PAS itu daripada DNA yang sama maka saya berkeyakinan dia ada titik pertemuan. Selama mana pun dia pergi, dia tidak akan berjalan selari...akan ada titik pertemuan. Maka bagi kita titik persamaan ini marilah kita meraikannya," kata Annuar.

    Mustapa juga menjelaskan sebanyak tujuh projek perumahan diluluskan kerajaan persekutuan di negeri itu.

    Sementara itu ditanya mengenai persiapan Umno Kelantan menghadapi PRU ke-14, beliau berkata, Umno Kelantan menubuhkan jawatankuasa manifesto bagi merangka tawaran yang akan dihidang kepada pengundi negeri itu.

    Katanya, jawatankuasa itu akan diketuai oleh bekas calon menteri besar Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan asas manifesto itu memberi tumpuan terhadap rekod prestasi kerajaan PAS.

    "Kita ada draf yang akan dibuat dalam seminggu dua lagi sebelum ditambah baik dengan hal-hal lain termasuk manisfesto pencapaian kerajaan PAS sejak 27 tahun.

    "Kita merangka (berdasarkan) 27 tahun, bukan lima tahun. Bukan rekod prestasi kerajaan negeri sejak PRU ke-13, tapi sejak 1990. Apa yang tidak dibuat," jelasnya.

    Belanjawan 2020

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih