malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Terima kasih kerana berjasa pada PAS, Teng'
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 6:05 PM
Dikemaskini: 10:14 AM
ADS

PAS boleh mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Teng Chang Khim atas kenyataannya yang mahu parti terbabit menjaga Kelantan dan tidak sibuk dengan isu festival berkaitan arak di Selangor.

Wartawan veteran Subky Latif berkata kenyataan exco kanan Selangor dari DAP itu adalah tanda pengiktirafan parti terbabit bahawa hanya PAS parti politik lantang menentang pesta arak di negara ini.

"Parti lain yang dipimpin oleh orang Islam dan penuh dengan anggota Islam tiada dasar jelas tentang arak, termasuklah (mengenai) pesta yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tolak permohonan permitnya," kata beliau dalam tulisan disiarkan Harakahdaily hari ini.

Menurut Subky walaupun Teng akur jika pesta arak itu ditangguhkan, ia berlaku bukan atas kerelaan DAP.

Pada masa sama katanya tercatit bahawa DAP ialah penyokong kuat penganjuran festival berkenaan.

"Jika ada orang Islam mengundinya, apa lagi menjadi calonnya (DAP) selepas ini maka mereka telah berkongsi dosa atas dasar proarak itu," kata Subky yang pernah menjadi anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu.

DBKL sebelum ini menolak permohonan Festival Better Beer 2017 yang sepatutnya diadakan pada 6 dan 7 Oktober lalu.

Festival berlangsung di Johor

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khalid Zakaria berkata DBKL menolak permohonan yang diterima pada 28 Ogos lalu.

"Jika penganjur meneruskan aktiviti tersebut, DBKL berhak mengambil tindakan bawah peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Selepas itu timbul pula isu Festival F&B Jerman yang dirancang diadakan di Kelang, Selangor. Pada awalnya Teng memberitahu ia diluluskan dengan beberapa syarat seperti orang Islam dilarang menyertainya, serta tiada perkataan Oktoberfest digunakan.

Bagaimanapun polis kemudian menasihati festival itu tidak diteruskan kerana maklumat risikan mendapati wujud ancaman keselamatan terhadap majlis itu.

Namun untuk rekod festival Oktoberfest turut berlangsung di Johor Bahru, Johor, pada 13 dan 14 Oktober ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan ia diadakan setiap tahun tatapi tidak dibuat secara besar-besaran, selain berlangsung secara tertutup.

Kata Subky, dosa arak adalah besar dan tidak sepadan dengan pahala menentang rasuah serta penyelewengan yang diperjuangkan oleh penyokong DAP.

"Menentang rasuah dan semua (tindakan) antipolitik mungkar adalah mulia, tetapi dosa maksiat arak memadamkan pahala yang lain," katanya.

Jangan takut celaan orang

Bagi PAS kata Subky parti itu tegas menentang festival berkenaan dan ia adalah salah satu ciri jihad.

"Sekadar niat saja (pun) sudah dikira pahala. Apabila ia bangun menentang, dapat pahala penuh.

"Apabila ia (festival itu) tidak dapat diadakan di Kuala Lumpur dan ditangguhkan pula di Kelang, bertambah lagi pahalanya," kata Subky.

Menurut bekas wartawan Utusan Melayu itu tempelak Teng adalah tanpa DAP mengiktiraf PAS sebagai parti yang menolak arak kerana Allah.

"Dasar PAS tidak sekadar beribadat demi menyelamatkan umat Islam daripada bencana arak, tetapi juga untuk menyelamatkan seluruh rakyat termasuk penyokong DAP supaya bebas daripada keburukan arak, sama seperti membebaskan semua daripada petaka dadah dan rasuah," katanya (gambar).

Justeru kemarahan Teng menguntungkan PAS dan menunjukkan parti itu terkedepan menentang "ibu segala maksiat" berkenaan.

Teng juga kata Subky membantu promosi PAS .

"Maka PAS jangan takut kepada celaan orang yang mencela.

"Mungkin Teng hendak menghalang penyokong DAP daripada memberi undi kepada PAS, tetapi undi itu di tangan Allah.

"Selagi orang PAS mempunyai hubungan yang terus dengan Allah, tahulah Allah bagaimana hendak menolong PAS.

"Tidak bolehkah kita berterima kasih kepada Teng atas pengiktirafannya?

"Dan dia pula selepas mencabar PAS itu tidak dapat meneruskan festival yang sudah diberi permit.

"Tidakkah ia gara-gara kesan ghaib daripada bantahan kerana Allah?

"Syabas Teng. Ada jasamu pada PAS!" katanya.

Lihat Komen