malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ledakan PSM di kubu nuklear PAS
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 2:33 PM
Dikemaskini: 6:37 AM
ADS

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan akan bertanding di kawasan parlimen Hulu Langat yang disandang PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Parti kiri itu meletakkan orang kuatnya S Arutchelvan untuk berdepan wakil rakyat PAS Che Rosli Che Mat dan wakil BN.

“Ini pertama kali kami bertanding di Hulu Langat dan kami rasa ada peluang kerana kita telah buat banyak kerja di sini, termasuk di kawasan rumah pangsa dan estet,” kata Arutchelvam.

Katanya, PSM juga sudah lama mempunyai pusat khidmat wakil rakyat di situ.

Kerusi campuran itu telah dua penggal dimenangi oleh Che Rosli, seorang saintis nuklear.

Langkah itu menyebabkan perpecahan undi di kalangan pembangkang dan membuka sedikit sinar harapan kepada BN.

Jika Pakatan Harapan turut bertanding di kawasan itu, keadaan mungkin lebih buruk buat parti-parti pembangkang.

PSM dan PAS sama-sama tidak terlibat dalam HARAPAN sebagai gabungan utama pembangkang.

Dalam pilihan raya umum lalu, kedua-dua parti pernah bertembung di Kota Damansara, yang kemudian memberikan kemenangan tipis kepada calon BN.

Calon PSM Mohd Nasir Bin Hashim bagaimanapun ketika itu menggunakan lambang PKR.

Di Hulu Langat, dalam pilihan raya umum lalu, Che Rosli menang besar dengan majoriti 17,267 – melonjak lebih sepuluh kali ganda berbanding 2008.

Kerusi itu mempunyai 53 peratus pengundi Melayu, 34 peratus dan 11 peratus India.

Sementara itu, tempat Arutchelvam sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebelum ini akan ditandingi oleh pendatang baru Nik Aziz Afiq.

PSM sebelum itu turun padang bertemu pengundi sekitar Kajang dan Semenyih.

Dalam lawatan itu, Arutchelvan sempat berjenaka dengan bergambar di depan Kedai Gunting Rambut Arul – yang kebetulan mirip nama panggilannya.

Lihat Komen