malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Weskot dan baton bercahaya adalah tiket ke sorga
ADS

ULASAN |  "Ini dia! Ini dia!!" kata pegawai yang bertugas sejurus saya melalui alat pengesan logam di lapangan terbang tempoh hari.

"Ahhh, sudah…" kata saya dalam hati.

Otak berpusing-pusing mencari sebab mengapa saya akan ditahan.

Nak dikatakan saya ini mempunyai hutang PTPTN, saya bersekolah rendah hingga ke darjah enam dengan biasiswa. Mahu dikatakan saya ini ekstremis agama, kamu yang kata saya liberal.

Otak berputar ligat mencari jawapan dalam nafas cemas. Pucat juga saya di KLIA2 waktu itu walaupun jika kamu baca tulisan saya, kamu akan dapati saya ini bukan peduli pun kamu nak kata apa tentang tulisan saya.

‘Encik tertinggal huruf ‘A’ dalam pasport semasa check-in melalui online…" kata pegawai berkenaan menerangkan mengapa saya dibawa ke tepi sebentar tadi.

Setelah berlaku apa-apa peristiwa, kita cepat melatah mengeluarkan pendapat yang kita rasakan betul, dan semestinyalah pendapat kita itu sajalah yang benar.

Kamu baca tulisan saya entah berapa baris, kemudian kamu buat penilaian mengikut tahap pemikiran kamu. Tidak salah, cuma jika kamu simpan pendapat itu dalam kepala kamu sendiri tanpa berkongsi dengan media sosial misalnya, maka itu adalah perkara yang baik.

Bangun kena buat

Ini zaman fitnah di hujung jari. Kita semua penduduk di dalam negeri fitnah. Masalah timbul apabila kita mahu terlibat dalam semua hal kerana kita rasa kita orang merdeka yang punya hak untuk bersuara.

Siapa sahaja yang bukan di sebelah kita adalah musuh.

Kita berasa apabila kita mendaftar menjadi ahli skuad amal misalnya, dan diberikan sehelai weskot memakainya, maka sebelah kaki kita sudah berada di syurga.

Apabila kita diberi kepercayaan untuk memegang baton berlampu untuk mengawal lalu lintas semasa ceramah politik, lalu sempurnalah agama kita.

Jika waktu itu kita kemalangan dan meninggal dunia, layaklah kita dikebumikan dengan weskot serta baton berlampu tersebut sebagai bukti di depan Allah bahawa kita syahid memperjuangkan agama.

Orang yang melanggar kita pula pasti dan pasti adalah ahli jahanam tanpa mengira siapa dia waima ibu kita sendiri kerana politik adalah darah daging kita. Jalan menuju kesempurnaan agama, kata kita.

Agama kita adalah agama "bangun kena buat". Bukan duduk di depan komputer dan mencari salah sesiapa.

Semasa penerbangan balik, kami tergendala lebih satu jam gara-gara penumpang di kerusi betul-betul hadapan saya mengalami sedikit masalah.

Mulanya apabila ditanya pramugari, kawan daripada kumpulan penumpang terbabit mengatakan yang dia demam. Namun akibat masalah bahasa, pramugari tersebut menyangka yang penumpang itu mengalami sawan.

Itulah, kita mahu tahu cuma apa yang kita mahu tahu. Walau bagaimana keras pun orang lain mencuba, bentuk pemikiran kita sudah lama dicanai.

Yang betul hanya kumpulan kita. Yang berjuang untuk bangsa, agama dan wang ringgit untuk kocek sendiri adalah kumpulan kita.

Sebelah tangan saja

Katakan apa saja namun untuk berhenti dan berfikir betapa korupnya orang kita adalah mustahil.

Jika terbukti benar sekalipun, selama mana kita juga beroleh keuntungan, kita tutup mata kerana ini adalah perjuangan.

Bukit yang ditarah, wang anak yatim RM100 juta yang dirembat adalah collateral damage.

Buka mata dan hati - lihat betapa korupsi dalam semua hal sedang menjahanamkan negara ini. Sesiapa saja yang dipilih mewakili kita hari ini adalah manusia paling sombong yang pernah kita temui.

Mereka berjalan mengepak dada, memandang rendah kepada semua. Juga tidak faham akan tugas hakiki mereka. Boleh dikira dengan jari wakil rakyat yang benar-benar mahu memperjuangkan rakyat.

Itu yang "mahu". Yang betul-betul buat mungkin setengah daripada sebelah tangan kita saja jumlahnya.

Yang bodoh adalah kita - atau jika saya mahu kurang ajar - kamulah! Terhegeh-hegeh menyokong orang politik menjadi kaya-raya. Kamu dapat tahinya tapi kamu masih tidak serik. Jenis muka tebal. Muka tidak tahu malu.

Kebetulan pula di seberang kerusi kami duduk seorang doktor dan dia berjaya mengesan bahawa penumpang itu sebenarnya mengidap schizophrenia - atau jika kamu mahu percaya kata-kata jahat sesetengah orang - penyakit para wali.

Seperti kamu apabila orang belajar agama dan jatuh sakit yang membawa kepada bercakap sendiri-sendiri, kamu akan kata yang dia sedang dalam proses menuju kekeramatan, walhal dengan sebiji atau dua biji pil setiap hari, pesakit ini boleh hidup seperti orang lain. Bahkan mungkin lebih produktif daripada kamu yang siang malam menggenggam telefon bimbit menanti berita tular.

Masalah selesai setelah kapten kapal terbang datang bertemu dengan pesakit dan berbicara dengan penuh berhemah sambil senyum. Dia meyakinkan pesakit berkenaan bahawa beliau adalah aman daripada segala kekacauan.

Sakitkan hati lagi

Sebelumnya, akibat tinggi rendah suara penumpang dalam penerbangan itu yang berdebat mengenai lelaki terbabit, dia menjadi tertekan dan seakan-akan mahu memberontak.

Kapten kapal terbang datang, bertanya khabar dan seterusnya meletakkan tangan ke dada pesakit tersebut sambil tersenyum.

Pesakit kembali tenang dan tujuh jam setelah duduk dengan tidak selesa akibat naik kapal terbang tambang murah, saya sampai semula di negara tercinta.

Lupa pula saya nama juruterbang tersebut.

Ada kawan mencadangkan bahawa yang rajin memberi komen memusuhi itu adalah dari kalangan konco politik yang dibayar. Tetapi saya bukan dari jenis paranoid sebegitu.

Saya menganggap kamu adalah daripada kumpulan muda yang berasakan bahawa agama boleh berkembang dengan nasyid dan menangis apabila kumpulan kesukaan kamu kalah dalam pertandingan lumba kilauan.

Hanya kerana saya menulis di Malaysiakini maka saya ini dikatakan menyokong pembangkang, penentang kebangkitan semangat Melayu.

Melayu tidak seistimewa seperti yang kamu sangkakan. Begitu juga Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Yang cemerlang adalah menjadi manusia yang tahu tempat letaknya serta bertindak kepada kebaikan yang semua setuju adalah benar.

"Bila mahu hantar artikel yang menyakitkan hati lagi?" tanya editor portal ini kepada saya apabila saya bertanyakan kepada beliau tentang nombor telefon seorang.

Dari situ pun kamu sepatutnya sudah nampak betapa portal ini hanya mahukan sensasi.

Doa kapal terbang meletup

Semua akhbar memerlukan sesuatu untuk menarik minat orang pergi kepadanya, dan mungkin saya ini juga digunakan oleh portal untuk tujuan meraih pembaca. Dan dengan itu akan sedikit sebanyak menyumbang kepada kelangsungan mereka.

Mungkin saya benar, mungkin saya salah.

Saya memilih portal yang tidak membayar penulis (sekurang-kurangnya belum lagi setakat ini) sebagai perlindungan apabila dituduh sebagai penulis upahan.

Dengan pelbagai peristiwa malang yang makin banyak berlaku hari ini - budak membakar budak, pembunuhan di Las Vegas, jurulatih perkosa altet dan sebagainya - kita masih lagi dengan sifat sentiment jahat kepada siapa sahaja yang bukan dalam kalangan kita.

Kita menuduh orang memusuhi agama kita, sedangkan kita sendiri memusuhi siapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kita. Sama ada mereka benar atau sebaliknya.

Ahli politik akan begitu saja. Pertama mereka akan memenangkan diri, dan kemudian partai. Apa sahaja yang mereka lakukan adalah untuk kekal dalam kuasa.

Sedang kamu bertelagah siang dan malam, mereka melompat partai sesuka hati.

Sebagai rakyat kita sepatutnya berani mengatakan bahawa semua ahli politik adalah jahat sehingga mereka membuktikan sebaliknya.

Hujung bulan nanti saya akan terbang lagi. Kali dengan dengan sahabat saya Abu Yusof yang dalam solatnya tidak akan lepas berdoa agar kapal terbang yang kami naiki meletup dan jasadnya akan bertaburan seluruh alam sebagai bukti nanti kepada Allah bahawa beliau syahid atas nama agama.

Saya rasa beliau tidak berlaku adil dalam doanya kerana hanya untuk dia mendapat syahid, satu kapal terbang perlu mati.

Sekarang kamu bayangkan pula perasan cemas saya waktu ini…


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen