malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelajar Korea Selatan dibebas lepas polis mengaku berbohong
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 4:05 PM
Dikemaskini: 8:15 AM
ADS

Seorang pelajar Korea Selatan, Kim Yun Soong, 20 dibebaskan daripada tuduhan mengedar ganja oleh Mahkamah Tinggi Seremban selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk menggugurkan kes itu.

Ini berikutan pengakuan seorang inspektor polis yang menyerbu pangsapuri pelajar berkenaan bahawa dia telah berbohong di mahkamah, berikutan rakaman CCTV yang didedahkan semasa perbicaraan minggu lepas.

Kim menjalani hukuman penjara hampir setahun setelah dituduh mengedar 219 gram ganja di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Nilai kira-kira jam 12.05 malam pada 19 Oktober tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Jais membenarkan pembebasan Kim berdasarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo (gambar).

Timbalan pendakwaraya DPP Rahimah Abd Majid memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu dan meminta mahkamah membebaskan tertuduh.

"Dengan mengambil kira penghujahan, mahkamah dengan ini membebaskan dan melepaskan tertuduh," kata Hakim Abu Bakar.

Gobind dalam hujahnya berkata, inspektor berusia 27 tahun yang mengetuai pasukan polis dalam serbuan ke pangsapuri berkenaan mengaku telah berbohong.

Peguam itu berkata, ini membuktikan bahawa pegawai polis berkenaan bukan saksi yang boleh dipercayai.

"Pegawai itu berbohong. Hanya selepas kami mengancam dan memberitahunya yang kami akan memulakan prosiding penghinaan terhadapnya kerana kami mempunyai bukti dia berbohong, baru dia mengaku," kata Gobind.

Inspektor yang mengetuai serbuan itu mengaku berbohong ketika disoal balas oleh Gobind mengenai kehadiran orang lain selain pasukan polis seramai 10 anggota ketika masuk ke unit pangsapuri Kim.

Bagaimanapun rakaman CCTV menunjukkan kehadiran seorang lagi individu bergari yang juga didakwa atas jenayah sama.

Difahamkan, polis mungkin akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan.

Lihat Komen