malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rangka dan angka untuk garis politik jelas
ADS

ULASAN Pada Oktober 2016 saya menyatakan bahawa Pakatan Harapan perlu menyediakan satu garis politik yang jelas antara gabungan pembangkang yakni Pakatan Harapan dengan PAS yang kini mesra Umno-BN.

Sepuluh bulan selepas saya mengutarakan pandangan ini, Majlis Pimpinan HARAPAN memutuskan tidak ada kerjasama dengan pihak PAS. Keputusan ini berdasarkan pada kegagalan usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PKR untuk berunding dengan PAS.



Malah PAS dengan garangnya memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Keputusan ini setidak-tidaknya membantu proses dan keputusan-keputusan yang lain.

Apa jua perubahan baharu yang mungkin berlaku antara HARAPAN dan PAS selepas ini, pastinya itu keputusan yang lain, yang pastinya punya sebab musabab yang luar biasa.

Saya tidak mampu mengagak apa-apa perubahan pada minit-minit akhir seperti itu, hanya nujum politik yang arif, tahu menilik keadaan itu.

Sudah dilukis

Garis politik yang asas ini sudah dilukis, ketika ini garis-garis perbezaan antara HARAPAN dan BN itu perlu dilakar lagi agar garis kecil ini semakin tebal, nyata dan ketara.

Perkara-perkara yang boleh menambah keketaraan perbezaan itu ialah dengan rangka dan angka yang betul.

Rangka ini biasanya boleh berbentuk manifesto, boleh juga berbentuk cadangan perubahan dasar dan sistem pentadbiran.

Angka pula boleh dizahirkan dengan nilai-nilai baru yang lebih realistik, munasabah, praktikal dan kreatif.

Secara teorinya ‘rangka’ dan ‘angka’ ini masih berasaskan tentang bagaimana HARAPAN boleh menunjukkan kepada rakyat bagaimana wang cukai kita dibelanjakan dengan cara yang paling bijak, paling berbaloi, dan mampu menambat keyakinan rakyat.

BN gagal

Kita semak bagaimana kerajaan Umno-BN begitu rakus membelanjakan wang cukai kita. Perbelanjaan itu memberi banyak indikasi untuk difikirkan.

Peruntukan Bajet 2012 berjumlah RM232.8 bilion, ia bertambah pada 2013 sebanyak 251.6 bilion. Pada 2014 belanjawan naik lagi menjadi RM264.2 bilion dan pada belanjawan 2015 sebanyak RM273.9 bilion telah diperuntukkan.

Sekalipun peningkatan ini adalah lumrah, ia terus meningkat bersama pertambahan defisit setiap tahun.

Dengan angka yang sedemikian, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seharusnya semakin menurun – yang membawa maksud, peruntukan dan perbelanjaan kerajaan BN telah memberi kesan terhadap sumber rezeki rakyat.

Rakyat seharusnya sudah semakin mampu, bukan semakin lesu.

Keadaan lesu ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah penerima dan jumlah dana BR1M.

Pada 2012, bilangan penerima BR1M adalah 4.1 juta dengan jumlah perbelanjaan RM2 bilion, bagi tahun 2013, meningkat lagi kepada 6.8 juta penerima dengan jumlah RM2.9 bilion.

Pada 2014, meningkat lagi sebanyak 6.9 juta penerima dengan nilai sebanyak RM3.6 bilion dan pada 2015, terus meningkat sebanyak 7.4 juta penerima iaitu kira-kira RM5.3 bilion.

Nyata sekali, rangka dan angka oleh BN, gagal.

PAS bukan saingan

Rangka dan angka inilah yang akan memberikan garis politik yang ketara antara HARAPAN dan BN termasuk rakan Umno, iaitu PAS.

Perlawanan sebenar adalah HARAPAN dan BN, bukan PAS.

PAS yang kononnya bergerak secara bersendirian, tidak akan mampu memberi rangka dan angka yang lebih baik daripada HARAPAN mahupun BN.

PAS hanya tahu mengira angka dosa dan pahala manusia.

Buktinya, PAS sendiri tidak mampu mengurus Kelantan dengan lebih cemerlang berbanding zaman almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

PAS sendiri tidak mempunyai mekanisme yang jelas untuk melawan sistem yang melahirkan rejim kleptokrasi.

PAS juga tidak mampu menjelaskan bagaimana peluasan Akta 355 mereka mampu menangkap dan membicarakan pencuri besar seperti Malaysian Official 1 (MO1).

Maka, mengurus rangka dan angka untuk HARAPAN, adalah lebih utama dan sudah memadai untuk membantu rakyat melupakan politik intrik Umno dan PAS.

Rakyat memerlukan rangka dan angka sebagai garis politik yang jelas untuk meletakkan keyakinan kepada HARAPAN.

Tanpa rangka dan angka yang betul, HARAPAN akan menghadapi kesukaran yang lebih besar, bukan kesukaran berdepan dengan Umno-BN dan PAS sahaja, tetapi kesukaran dalam mengurus kekuatan yang mereka miliki.


MAHDZIR IBRAHIM ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen