Masalah penyalahgunaan dadah antara isu utama dibangkitkan dalam dialog Tranformasi Nasional 2050 (TN50) dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) malam tadi.
Antara lain, Naib Presiden GPMS, Rafidah Mohd Ariffin menimbulkan kebimbangan mengenai bajet kecil yang diperuntukkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi menangani masalah penagihan dadah yang semakin serius di kalangan remaja.
Katanya statistik terbaru AADK menunjukkan peningkatan jumlah penagih baru setiap tahun sebanyak 22,923 orang dan jumlah itu tidak termasuk penagih berulang seramai 7,921 orang.
"Yang pulih tidak ramai pun, yang berulang (menagih dadah) pun sudah ramai," katanya pada sesi dialog yang dinamakan "Dialog Anak Muda makin Parah. Malaysiaku Ke Mana Arah" semalam.
Rafidah mendedahkan bajet AADK di Bahagian Pencegahan hanya RM6 juta setiap tahun dan ia tidak mencukupi untuk membendung masalah penagihan melibatkan penagih berumur bawah 40 tahun dan pelajar sekolah.
Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan AADK kerana berpendapat agensi itu sudah melakukan sedaya upaya untuk melaksanakan program pencegahan dengan bajet yang terhad.
Bawa ke parlimen
Sementara itu, seorang lagi ahli panel yang juga anggota parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi memberi jaminan akan membawa perkara itu dalam sidang Parlimen akan datang.
"Saya rasa tidak ada masalah," katanya selepas dicabar Rafidah untuk membangkitkan isu itu di parlimen.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, tanggungjawab bagi memerangi dadah tidak harus diletak di bahu pihak berkuasa semata-mata.
Sebaliknya katanya, institusi seperti sekolah juga harus memainkan peranan aktif dalam memerangi gejala itu.
Sivamurugan juga berkata mustahil penyalahgunaan dadah dapat dibasmi sepenuhnya kerana kedudukan geografi Malaysia memudahkan dadah di bawa masuk dari sempadan.
Katanya, faktor ekonomi juga menjadi pendorong ramai golongan muda terjebak dalam najis dadah yang mudah didapati di pasaran.
"Yang berwang mereka guna dadah (jenis) yang lain, yang tidak mampu gunakan dadah yang lain," ujarnya.
Terdahulu, hadirin pada program malam tadi diserikan oleh persembahan nyanyian oleh Budiman yang membawakan lagu Madu Tiga, dendangan Tan Sri P Ramlee. Manakala SIvamurugan pula menyanyikan lagu Bourgenvilla yang dipopularkan oleh kumpulan Spring.