malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS minta sumbangan baiki peralatan disambar kilat
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 5:34 AM
ADS

Jabatan Teknologi Maklumat PAS Terengganu yang ditugaskan mengendalikan penyiaran siaran langsung dan rakaman perhimpunan Fastaqim 2.0 minggu lalu, kini menanggung kerugian RM88,820 akibat kerosakan sejumlah peralatannya.

Pengarah jabatan Mohamad Iszeham Mat Ali berkata, kerosakan akibat sambaran kilat dan hujan lebat yang Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu pada malam pertama perhimpunan, 29 September lalu.

"Seperti biasa kami menyiarkan perjalanan program secara langsung di media sosial. Tetapi secanggih mana pun teknologi ciptaan manusia, tidak akan mampu mengatasi kudrat dan iradat Allah.

"Pada malam perasmian Fastaqim 2.0, kejadian kilat amat kuat dan hujan lebat mengakibatkan beberapa peralatan teknikal rosak dan tidak boleh digunakan. Anggaran kos kerosakan sebanyak RM88,820," kata pengarah jabatan itu Mohamad Iszeham Mat Ali dalam satu kenyataan, semalam.

Kenyataan itu turut menyenaraikan peralatan yang rosak, antaranya tiga kamera dengan jumlah harga RM50,000, komputer jenama Acer (RM3,000), komputer riba jenama Asus (RM5,500) dan kamera video untuk saluran youtube Harap TV (RM8,600).

Justeru beliau merayu sumbangan semua pihak untuk membantu mereka membaiki dan menggantikan peralatan yang rosak untuk kegunaan program akan datang.

"Inilah masalah yang paling besar perlu kami selesaikan demi memenuhi permintaan peserta dan penyokong yang tidak dapat hadir ke Fastaqim 2.0.

"Kami mengalu-alukan sebarang sumbangan dari semua untuk membaiki dan membeli semula peralatan ini," katanya lagi.

Dentuman kilat itu berlaku kira-kira pukul 11 malam, ketika Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyampaikan ucapan.

Kejadian itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menghentikan perjalanan program, sebelum disambung semula sepuluh minit kemudian.

Acara yang berlangsung pada 29 dan 30 September lalu di negeri tradisi PAS itu menjadi perhatian ramai pemerhati politik.

Sesetengah pihak menyifatkan PAS hanya berjaya menunjukkan kekuatan jenteranya tetapi gagal membawa 'kejutan' atau sesuatu yang baru.

Namun kenyataan itu disangkal pengerusi program Nasrudin Hassan, yang berkata ulasan negatif mereka tanda cemburu terhadap kejayaan program.

 

Lihat Komen