malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zunar cabar pengharaman buku kartun Sapuman
Diterbitkan:  Oct 4, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 4:26 AM
ADS

Kartunis Zunar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengharaman buku kartun terbarunya “Sapuman: Man of Steal”.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata beliau telah berbincang dengan peguam untuk memfail cabaran undang-undang terhadap pengharaman buku tersebut oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.

"Kamu boleh mengharamkan buku saya, kamu boleh mengharamkan kartun saya, tetapi kamu tidak boleh mengharamkan pemikiran saya.

"Bila kerajaan menjadi korup, melukis kartunis menjadi tanggungjawab," katanya.

Buku berkenaan adalah antara beberapa karya terbaru yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan dan diwartakan pada 28 September lalu.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque berkata, sebelum ini beberapa buah buku kartunnya turut diharamkan termasuk disiasat di bawah Akta Hasutan.

"Sejak 2009, pejabat saya telah beberapa kali diserbu dan ribuan buah buku kartun dirampas.

"Pencetak, pengilang serta kedai buku juga diserbu dan diugut," kata Zunar dalam satu kenyataan hari ini.

Zunar yang kini menghadapi sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan berkata, kerajaan juga mengenakan sekatan untuk menghalang beliau keluar negara sejak 2016.

Bagaimanapun beliau menegaskan tindakan terbaru itu tidak akan menghentikannya daripada terus melukis kartun bagi mendedahkan rasuah dan ketidakadilan.

"Kartun saya bukan lahir dari fantasi, sebaliknya adalah rekasi dari isu semasa terutama korupsi. Sebagai contoh, kulit luar Sapuman adalah mengenai isu skandal 1MDB yang menyebabkan puluhan biliion ringgit hangus.

"Jika skandal ini tidak berlaku, saya tidak mungkin akan menghasilkan kartun tersebut. Jangan salahkan kartunis apabila ahli politik mencuri berbilion ringgit," katanya.

Selain kartunis Zunar, warta pengharaman buku pada 28 September lalu turut membabitkan penulis Faisal Tehrani dan aktivis politik PKR, Wan Ji Wan Wan Hussin.

Perintah kawalan “Aku___, Maka Aku Ada!” karya Faisal dan “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi” karya penceramah agama itu ditandatangani oleh menteri dalam negeri pada 6 September lalu.

Lihat Komen