malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
LGBT dan Syiah diduga punca buku Faisal diharam
ADS

Karya berjudul 'Aku _____, Maka Aku Ada!' ialah buku keempat Faisal Tehrani (gambar) terbitan DuBook yang diharamkan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutif DuBook Press, Lucius Maximus berkata buku tersebut diharamkan bukan kerana terdapat unsur lucah sebaliknya kerana tulisan Faisal sering dikaitkan dengan fahaman Syiah.

"Pada kami buku ini diharamkan bukanlah sebab ada unsur kelucahan, tetapi ia lebih kepada idea yang diketengahkan oleh Faisal Tehrani sendiri yang banyak menyentuh isu semasa, politik, isu keagamaan di Malaysia seperti mazhab syiah dan bagaimana penerimaannya dan isu LGBT yang mana penulis ada menyentuh mengenainya.

"Saya rasa sebab dua perkara ini iaitu LGBT dan isu Syiah yang menyebabkan ia diharamkan," kata Lucius.

DuBook Press Sdn Bhd berkata pihaknya tidak akan pernah serik untuk menerbitkan hasil karya pengarang tersebut meskipun ia seringkali diharamkan kerajaan.

Rugi sekat penulis berbakat

Lucius berkata menjadi suatu kerugian kepada industri penulisan negara sekiranya penulis berbakat seperti Faisal Tehrani disekat.

"Pengharaman itu tak menghalang kami terbitkan buku Faisal, kami akan terus terbitkan buku beliau dan kita memang tidak akan serik untuk terbitkan buku-buku beliau yang menyentuh isu-isu sensitif.

"Adalah satu kerugian untuk kita sekat seorang penulis seperti Faisal Tehrani yang ada bakat dan merupakan seorang penulis yang lantang dan juga kerugian untuk industri penulisan di Malaysia ini," kata Lucius ketika dihubungi Malaysiakini.

Awal September lalu, satu lagi karya pengarang terkenal itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri, menjadikan keseluruhan tujuh buah buku.

Berdasarkan warta kerajaan persekutuan, perintah pengharaman itu dikeluarkan berdasarkan Subsyeksyen 7(1) Akta mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pihak berkuasa memberikan alasan penerbitan itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.

Penerbit berdukacita

Buku-buku lain Faisal yang diharamkan ialah Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu, Ingin Jadi Nasrallah, Perempuan Nan Bercinta serta Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan.

Mengulas lanjut, Lucius berkata pihaknya turut berdukacita dengan tindakan kerajaan itu.

"Bagi kami sebagai penerbit sudah tentulah kami dukacita tapi bukan sebab kami tak boleh jual buku itu tetapi sebab kebebasan untuk menulis dan memberi pendapat dah disekat.

"Pada kami, bukanlah nak kata apa yang penulis itu tulis betul tetapi semua orang ada hak untuk menulis dan mengutarakan pendapat mereka," kata Lucius.

Faisal Tehrani ialah nama pena kepada Dr Mohd Faizal Musa yang merupakan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Gila mengawal minda

Faisal dalam mengulas tindakan pengharaman bukunya kepada Malaysiakini menyifatkan ia sebagai suatu keadaan yang penuh krisis dan gila (madness) dalam mengawal minda manusia dan anggota masyarakat.

"Masih baru lagi Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan, Profesor Karima Bennoune meminta pengharaman buku saya ditarik balik," kata Faisal.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan, Karima Bennoune sebelum ini menggesa pihak berkuasa Malaysia tidak melarang kepelbagaian pandangan dalam Islam.

Ia sejajar dengan sifat umat Islam sendiri yang berbeza-beza dalam banyak perkara, kata Karima

“Penting untuk membenarkan kepelbagaian Islam di Malaysia berkembang daripada membenarkan pandangan sesetengah orang sebagai versi Islam yang diimport dan dipaksa ke atas semua,” Karima dipetik berkata dalam laporan media tempatan.

Lihat Komen