malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'RM5,000 untuk setiap peneroka bukan gula-gula PRU'
Diterbitkan:  Oct 3, 2017 1:37 PM
Dikemaskini: 6:13 AM
ADS

Insentif khas sebanyak RM5,000 daripada kerajaan kepada setiap peneroka Felda bukanlah “gula-gula” bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, bantuan itu adalah untuk jangka masa panjang dan melibatkan penyusunan serta pengurusan agensi itu sendiri.

“Menerusi pengumuman insentif oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kepada peneroka, ramai yang kata ia sebagai gula-gula PRU. Ia seolah-olah seperti bertujuan untuk pilihan raya sahaja dan hanya one off.

“Tapi kalau diteliti sebenarnya apa yang telah diumumkan perdana menteri sebagai insentif kepada peneroka, kita boleh lihat bahawa ia bukan hanya untuk masa ini sahaja atau one off tapi melibatkan juga penyusunan semula cara pengurusan Felda itu sendiri,” Shahrir berkata demikian dalam wawancara bersama Sinar Harian hari ini.

Jelasnya peneroka perlu menjual hasil ladang mereka terus kepada Felda bagi menerima intensif tersebut.

Bayaran RM5,000 kepada setiap peneroka itu merupakan salah satu daripada 6 insentif yang diumumkan perdana menteri pada sambutan Hari Peneroka Julai lalu.

Seramai 101,320 atau 90 peratus peneroka Felda akan menerima manfaat tersebut selain 10 peratus lagi yang menguruskan sendiri ladang mereka dengan syarat menghantar hasil kepada Felda.

Shahrir yang juga anggota parlimen Johor Bahru turut membidas pembangkang yang didakwa sengaja menggunakan Felda untuk menyerang kerajaan.

Namun Shahrir berkata beliau percaya tahap keyakinan peneroka kepada agensi itu tetap utuh.

Katanya, beliau telah menggunakan pelbagai pendekatan untuk memberi pemahaman kepada peneroka supaya tidak berlaku salah faham mengenai perkara yang ingin disampaikan.

Shahrir turut menolak kemungkinan pembangkang akan merampas kerusi di kawasan Felda yang telah dimenangi BN.

“Tak boleh (rampas). Pada saya orang sekarang semua pandai-pandai, kalau kita nak selamatkan negara, selamatkan Felda tapi apa pandangan mereka sedangkan semua yang saya dah buat sekarang mereka sendiri tak faham.

“Bila saya kata (insentif) bukan gula-gula PRU, tapi mereka tetap kata ini gula-gula PRU. Kalau gula-gula PRU itu one off. Tapi apa yang kita buat susun semula model pengurusan Felda itu sendiri,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen