malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Masa depan penjawat awam gelap di bawah pembangkang
ADS

Perdana Menteri Datuk Seri Najib memberi amaran kepada penjawat awam yang masa depan mereka mungkin menjadi buruk jika pembangkang mengambilalih pentadbiran negara.

Berucap di hadapan sejumlah 5,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, beliau menyifatkan hubungan antara kerajaan dan penjawat awam sebagai "aur dengan tebing".

"Pepatah juga menyebut, 'dicubit peha kanan, peha kiri pun terasa'. Ertinya apabila pembangkang memperlekeh, menohmah atau memfitnah penjawat awam, seumpama menghina secara langsung kerajaan secara keseluruhannya.

"Oleh sebab itu kita berasa amat tersinggung dan marah apabila pembangkang sesuka hati menuduh kononnya perkhidmatan awam ini sebagai 'bloated civil service', yakni terlebih bilangannya, berbanding negara lain.

"Dan jika mereka berkuasa, dengan angkuhnya mereka mahu mengurangkan separuh daripada jumlah penjawat awam," katanya.

Pada masa ini, negara memiliki kira-kira 1.6 juta penjawat awam. Kerajaan memperuntukkan RM76 bilion setiap tahun bagi gaji dan elaun, serta RM21.6 bilion untuk pencen.

Beliau berkata, tidak adil untuk membandingkan jumlah penjawat awam di Malaysia dengan negara lain, kerana perkhidmatan awam negara turut meliputi sektor perguruan, dan kesihatan dan keselamatan.

Selain itu, katanya lagi, ada juga pembangkang yang memberi tanggapan negatif terhadap penjawat awam dengan melabel mereka sebagai "makan gaji buta" dan "tidak cekap".

"Bayangkanlah apa akan terjadi kepada untung nasib sebahagian besar penjawat awam, jika pembangkang dibiarkan memerintah negara?

"Sanggupkah anda mempertaruhkan masa depan sekalian dan anak cucu keturunan kita kepada pihak sedemikian?" soalnya lagi.

Dalam program itu, Najib melancarkan buku bertajuk "Falsafah Asas TN50".

Mengakui ia bukanlah manual yang lengkap, Najib menjelaskan buku dengan 310 halaman itu adalah falsafah asas dasar itu yang dirangkum daripada siri dialog TN50 yang diadakan sebelum ini.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan perkhidmatan awam sebagai jentera utama dalam menyebarkan dan melaksanakan semua dasar dan inisiatif kerajaan yang mentadbir.

"Ada persepsi bahawa adanya pemisahan, yakni 'political master of the day' tidak ada kena mengena dengan perkhidmatan awam, 'kerajaan datang dan pergi, tetapi perkhidmatan awam kekal seperti biasa'.

"(Tetapi) kerajaan penentu dasar pentadbiran negara dan ia dilaksanakan oleh perkhidmatan awam," katanya.

Najib juga mengingatkan penjawat awam berhubung prinsip wala', atau kesetiaan.

"(Ia tentang) memberi kepatuhan serta bai'ah kepada seorang pemimpin yang sah dan institusi kepimpinan...selagi radar kepimpinan itu masih kekal dalam parameter maslahah umum dan tiada unsur kezaliman.

"Jika prinsip wala' ini menjadi amalan dalam perkhidmatan awam, barulah ada disiplin dan kelancaran dalam organisasi yang menunjangi kerajaan," katanya.

Najib juga menjanjikan penjawat awam "khabar gembira" pada 27 Oktober ini, iaitu hari pembentangan Belanjawan 2018.

Lihat Komen