malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Umno Johor ketandusan pelapis?'
Diterbitkan:  Oct 2, 2017 9:00 PM
Dikemaskini: 2:14 PM
ADS

Ketua Penerangan PKR Johor Akmal Nasir mempersoal sama ada keputusan Tan Sri Shahrir Samad menawarkan diri bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 di parlimen Johor Bahru adalah disebabkan Umno Johor ketandusan pelapis atau sebaliknya.

“Setelah hampir setahun setengah Tan Sri Shahrir menyatakan pendirian untuk tidak bertanding, UMNO Johor gagal mengetengahkan mana-mana orang muda yang berbakat di Johor Bahru seperti yang dijanjikan oleh Tan Sri Shahrir.

“Ini memberi gambaran seolah-olah Umno Johor tiada pemimpin pelapis,” kata Akmal dalam kenyataan medianya hari ini.

Sebelum ini, Shahrir beberapa kali menyatakan kesediaan bersara dan berharap tidak perlu lagi bertanding dalam PRU ke-14.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Johor Bahru itu semalam membuat kenyataan bertentangan apabila menyatakan kesediaan bertanding pada PRU ke-14.

Shahrir dilapor berkata demikian setelah beliau mendapati ramai nama-nama besar termasuk adiknya sendiri, Khalid Samad yang merupakan anggota parlimen Shah Alam dikatakan akan bertanding di Johor.

Kemungkinan lain yang mendorong tindakan Shahrir (gambar) itu, menurut Akmal, ialah kerana beliau atau Umno Johor sendiri hilang keyakinan dengan kemampuan pemimpin yang masih tinggal dalam Umno.

Akmal juga tidak menolak kemungkinan tindakan beliau itu adalah kerana mengikut kehendak Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya pendirian flip-flop Tan Sri Shahrir Samad adalah berkemungkinan besar mengikut kehendak Datuk Seri Najib Razak.

“Kesetiaan beliau kepada Perdana Menteri boleh dianggap setaraf jika tidak lebih tinggi berbanding dengan Datuk Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian.

“Ini adalah mengambil kira kelantangan Tan Sri Shahrir selama ini mempertahankan Najib terutamanya dalam soal 1MDB, menyokong pelaksanaan GST dan seterusnya dilantik sebagai pengerusi Felda,” katanya.

Mudahkan pilihan rakyat

Dalam perkembangan sama, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata tindakan Shahrir itu disebabkan beliau panik dengan sokongan orang Melayu di Johor terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Shahrir merupakan veteran Umno, yang dikhabarkan oleh banyak pihak memilih untuk bersara dari menyertai pilihan raya umum yang akan datang.

“Namun saya melihat, disebabkan panik dengan perkembangan positif sokongan orang Melayu untuk lakukan perubahan di Johor, Shahrir terpaksa membuat u-turn dan mahu kekal bertarung dalam PRU ke-14,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, Sheikh Omar berkata, pendirian Shahrir itu tidak sedikit pun menggugah HARAPAN sebaliknya memberi gambaran bahawa Umno sedang 'goyang' dengan kemaraan rakyat di negeri Johor.

Sheikh Omar menambah, penyertaan Shahrir dalam PRU ke-14 hanya memudahkan lagi pilihan rakyat negeri itu.

“Penyertaan Shahrir dalam PRU ke-14 yang akan datang pada saya akan memudahkan lagi rakyat di negeri ini untuk menilai antara dua pilihan.

“Sama ada calon-calon PH yang berkerja keras untuk agenda perubahan demi rakyat, atau calon-calon Umno Johor yang kononnya tidak mahu dikaitkan dengan kleptokrasi namun hakikatnya terus bersekongkol dengan mengangkat 'kawan istimewa Najib' untuk berpencak dalam PRU ke-14 nanti,” katanya.

Lihat Komen