malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
2 hakim mahkamah rayuan tarik diri kes NFC-Rafizi
ADS

Dua daripada tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan yang melibatkan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), pengerusi eksekutif NFC Mohd Salleh Ismail, Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Mkini Sdn Bhd.

Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober tahun lepas yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM50,000 kepada NFC dan RM150,000 kepada Mohd Salleh, selain tambahan RM100,000 sebagai kos tambahan.

Sementara pengerusi eksekutif NFC merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan beliau terhadap Mkini Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defenden kedua dalam tuntutan saman.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel penghakiman menarik diri bersama hakim Mary Lim yanag merupakan hakim ketiga.

“Untuk memastikan keadilan, kami berdua tarik diri daripada mendengar rayuan,” kata hakim Abang Iskandar.

Selepas pengurusan kes diadakan antara peguam daripada semua pihak, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh baru 23 Mac tahun depan untuk pendengaran rayuan di hadapan panel hakim baru.

Penarikan diri itu setelah hakim Abang Iskandar memberitahu peguam semua pihak, termasuk peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Salleh dan NFC, bahawa beliau dan hakim Lim menolak rayuan NFC dan Salleh dalam kes saman fitnah yang dikenakan ke atas Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

Hakim memberitahu bahawa walaupun kes Rafizi sedikit berbeza berbanding Nurul Izzah, ia melibatkan isu daripada sidang media yang sama.

Hakim Abang Iskandar atau hakim Lim akan membuat alasan penghakiman (grounds of the decision) dalam kes NFC dan Salleh melawan Nurul Izzah yang akan dirayu oleh NFC dan Salleh di Mahkamah Persekutuan bulan depan.

Peguam Shafee yang mewakil Salleh mengakui bahawa hakim Abang Iskandar dan hakim Lim, yang turut terlibat dalam penghakiman Nurul Izzah, tidak seharusnya mendengar rayuan itu.

Shafee bagaimanapun berkata beliau tiada bantahan dengan kehadiran kedua-dua hakim itu.

Peguam Ranjit Singh dan Razlan Hadri Zulkifli yang mewakil Rafizi juga tidak menyatakan bantahan.

Razlan Hadri yang mewakili Nurul Izzah dalam kes melawan NFC dan Salleh memberitahu bahawa kes Nurul Izzah dan Rafizi berbeza.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen