malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiada keperluan untuk tubuh IJTN, kata PAS
Diterbitkan:  Oct 2, 2017 11:52 AM
Dikemaskini: 4:10 AM
ADS

PAS tidak melihat adanya keperluan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN), kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut menyokong tindakan Pesuruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad mempersoalkan pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berhubung perkara itu.

"Isu utama yang dihadapi dalam membanteras rasuah negara ialah ketidaksungguhan pihak kerajaan membasmi politik wang dan pembiayaan politik yang menjadi punca meluasnya gejala politik di kalangan pimpinan politik.

"Lagipun penerangan Paul Low mengenai penubuhan JITN ini sangat samar. Apa kaitannya dengan Program Transformati Kerajaan ataupun membantu dalam usaha membasmi rasuah adalah amat tidak jelas," kata nya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, PAS melihat cadangan yang dipersetujui kabinet pada 28 Julai lalu sebagai usaha mengawal SPRM dan suatu langkah ke belakang dalam usaha menjadikan suruhanjaya itu sebuah badan yang benar-benar bebas.

"Adalah lebih baik untuk Paul Low melakukan sesuatu agar kabinet dapat bersetuju untuk mempercepatkan penggubalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik.

"Akta ini jauh lebih membantu daripada JITN dalam membasmi rasuah," katanya.

Tambahnya, penubuhan JITN juga bertentangan dengan dasar berjimat cermat dan langkah kerajaan memotong bajet untuk kementerian dan jabatan kerajaan.

"Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukan yang lebih, PAS mencadangkan ia adalah lebih bermanfaat untuk disalurkan bagi penambahan peruntukan dan kakitangan SPRM sebagai sebuah agensi utama bagi mencegah jenayah rasuah dalam negara," katanya.

Lihat Komen