malaysiakini logo
story-image
ADS

Istiqamah selamanya - mungkin itu mesej yang dapat dibaca daripada kesungguhan penyokong PAS yang sanggup berkhemah bersama keluarga di sekitar Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

Semuanya dengan satu matlamat iaitu memeriahkan himpunan Fastaqim 2.0 yang bermula petang tadi.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, kira-kira 30 khemah persendirian didirikan pengunjung sebagai tempat menginap sama ada untuk sepanjang program atau bagi tujuan sementara.

Bagi Mohd Fazil Abdullah, 37, dia bersama isteri serta lima anaknya memilih untuk 'bermukim' berhampiran tapak program tersebut.

"Ya akan tidur sini, insya-Allah. Ini adalah perhimpunan keluarga kita sekali gus dapat mengukuhkan ukhwah sesama ahli," katanya.

Mengenai lokasi khemahnya Mohd Fazil berkata dia mahu berada lebih dekat dengan pusat program Fastaqim 2.0 kerana ia lebih memudahkan menghadiri setiap program yang disusun penganjur.

"Tak perlu menghadap kesesakan lalu-lintas," katanya yang turut disertai dua keluarga rakan dari Chendor, Kuantan.

Fastaqim 2.0 kali ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan dijadualkan diakhiri dengan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai kemuncak program.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Fauzi Ismail, 35, juga memilih untuk memasang khemah walaupun tidak bermalam di tapak perhimpunan itu.

"Kami datang pagi tadi, kemudian pasang khemah sebagai tempat istirahat bersama keluarga.

"Ia lebih memudahkan terutamanya kami bawa anak kecil bersama," katanya yang datang dari Kampung Manir, Kuala Terengganu.

Sepanjang program bermula hari ini, ia dimulakan dengan jombori kenderaan pacuan empat roda dan acara paling mendapat sambutan setakat petang tadi ialah slot bersama penceramah terkenal Azhar Idrus dan penyanyi Zul Handyblack.

Pada sebelah malam pula ia disusuli program ceramah dan solidariti Rohingya, antara lain menampilkan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairudin Aman Razali.

Program berkenaan diadakan ketika kehangatan pilihan raya umum (PRU) ke-14 semain dirasai dan PAS kekal bersama blok ketiga Gagasan Sejahtera yang membawa tema politik matang dan sejahtera.

Terengganu pernah ditawan parti itu pada PRU ke-10 pada 1999 dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik menjadi menteri besar.

Bagaimanapun pentadbiran kerajaan negeri diketuai PAS itu hanya bertahan sepenggal.

Lihat Komen