malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Suatu masa dahulu, kedua-dua tokoh ini pernah dianggap sebagai musuh ketat dalam arena politik ketika masing-masing berada dalam kerajaan dan pembangkang.

Siapa sangka selepas puluhan tahun, kedua-duanya berbaik semula dan menjadi rakan akrab, malah kini berada dalam 'satu kapal' yang sama.

Itulah hubungan unik yang ditunjukkan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas seterunya, Mohamad Sabu yang kini merupakan presiden AMANAH.

Semalam, menerusi Facebook, Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu memuat naik gambar beliau menerima kunjungan bekas perdana menteri itu di rumahnya di Shah Alam.

Kedatangan Mahathir yang ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah disifatkan Mat Sabu sebagai tetamu istimewa.

Malah, selain Mat Sabu dan keluarganya, kedatangan Mahathir juga disambut jiran-jiran kepada pemimpin AMANAH itu.

Menerusi gambar, Mat Sabu dilihat mengenakan apron berlogokan AMANAH  ketika berada di dapur bagi menyediakan hidangan kepada tetamu istimewa itu.

Antara lauk-pauk yang dihidangkan adalah nasi daging kambing, salad, kambing goreng nampla, gulai ayam serta ikan masin goreng.

Bercakap kepada wartawan dalam sidang media hari ini, Mat Sabu berkata bekas perdana menteri itu gembira dengan kunjungan ke rumahnya semalam.

"Dia (Tun) senyum sepanjang masa sampai balik.

“Nanti saya buat makan-makan saya panggil wartawan datang,” katanya sambil tertawa pada sidang media di ibu pejabat AMANAH di Kuala Lumpur.

Mat Sabu pernah menjadi musuh ketat Mahathir ketika masing-masing berada dalam PAS dan Umno.

Malah bekas timbalan presiden PAS itu pernah dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Mahathir juga tidak berhenti menyerang dasar dan perjuangan PAS.

Bagaimanapun kedua-dua tokoh itu kini telah meninggalkan parti asal mereka. Mahathir meninggalkan Umno untuk membentuk Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), manakala Mat Sabu keluar dari PAS untuk menubuhkan AMANAH.

Kedua-dua parti pembangkang itu kini menjadi parti komponen HARAPAN dengan matlamat yang sama untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

 

Lihat Komen