malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bosan dan merimaskan - itu tekanan emosi yang dialami pengguna kenderaan persendirian apabila saban Rabu tertanya-tanya nasib masing-masing.

Sejak kerajaan memperkenalkan mekanisme baru pada 30 Mac lalu, harga minyak petrol dan diesel ditentukan secara mingguan berdasarkan kedudukan harga Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar AS pada minggu terdahulu.

Mulai 28 Sept pengguna sedikit lega apabila RON95 dan RON97 turun 3 sen walaupun diesel meningkat 2 sen.

Ia adalah penurunan kedua selepas 11 minggu mencatatkan kenaikan yang meresahkan.

Tinjauan rambang Malaysiakini di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya dan Bangsar semalam mendapati pengguna secara umumnya memang bersedia mendengar pengumuman kenaikan harga minyak.

Menurut Arif Harris, 33, beliau kini sudah benar-benar "tidak larat" memikirkan kerumitan daripada langkah yang diambil kerajaan ketika ini.

“Pada saya, saya dah tak laratlah nak fikir pasal minyak ini bila asyik naik saja dan kebanyakan masanya semakin naik.

“Semua orang merungut dan tak ada siapa yang tak merungut,” kata Arif (gambar) yang memperuntukkan RM18 untuk empat hari bagi motorsikal berkuasa besarnya itu.

Bahkan pegawai di sebuah syarikat swasta itu berkata pola kenaikan harga petrol semasa begitu membebankan.

“Memang kita tak boleh buat apa tapi memang menyusahkanlah bila semakin hari, semakin naik.

“Satu lagi, kita tak boleh rancang bila setiap minggu naik, jadi tambahan (kos) bila berlaku kenaikan,” kata Arif yang setiap hari berulang-alik dari Subang Jaya ke pejabatnya di Kuala Lumpur.

Bagi R Suren, 28, yang bekerja sebagai penjaga haiwan kenaikan harga minyak begitu membebankan beliau sehingga terpaksa menjual kereta miliknya.

Tak sanggup berkereta

Suren yang berulang-alik dari Bukit Jalil ke Petaling Jaya setiap hari berkata pola kenaikan harga petrol itu benar-benar merimaskan dan menyusahkan.

“Memang sekarang ini saya dah tak peduli berapa harga minyak yang diumumkan kerajaan setiap minggu sebab kita tahu ia akan naik saja dan kita memang terpaksa isi.

“Memang susahlah, memang dah rimas dengan kenaikan terus-menerus harga minyak ini.

“Saya pun sekarang dah jual kereta sebab tak tahan dengan kenaikkan harga minyak,” kata Suren (gambar).

Jelas Suren, dia sebelum ini memiliki Proton Wira dan memperuntukkan RM50 seminggu bagi kegunaaa ke tempat kerja.

Namun, kata Suren bermula kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sekitar RM2.10 beliau mula berfikir berkali-kali untuk berkereta.

“Dulu RM50 boleh pakai hampir dua minggu dan masa itu harga minyak RM1.70 seliter.

"Lepas naik RM2.10 saya jadi dah tak sanggup naik pakai kereta,” keluh Suren.

Tambah Suren, jika kerajaan mengambil langkah penetapan harga bahan api itu secara bulanan dapatlah beliau membuat perancangan kewangan bagi penggunaan petrolnya.

"Tapi sekarang dia buat secara mingguan, kita pun rasa sangat terbeban dan banyak belanja terpaksa dikeluarkan,” tambah Suren.

Tetap kena isi

Minggu lalu, harga petrol mencatatkan penurunan 2sen bagi RON95 dan 3sen bagi RON97 selepas 11 minggu harga bahan api itu tidak turun-turun.

Harga runcit baru RON95 ditetapkan pada 2.19 seliter manakala RON97 pula RM2.49 seliter.

Bagi Ong Chi Min, 33, seorang kontraktor dan Nur Fazlia Hussin, 25, kerani di syarikat swasta mereka juga sudah bosan dengan keadaan itu.

“Minyak naik ke, turun ke, saya pun dah tak tahu sebab malas nak ambil kisah.

"Sebab apa, sebab naik atau turun kita tetap kena isi tangki. Tapi kita rasa beban jugalah,” kata Ong yang membelanjakan RM30 sehari bagi petrolnya untuk kerja-kerja di sekitar Lembah Klang.

“Bosan dan membebankan dengan kenaikan harga minyak, sebab turun sikit tapi naiknya banyak.

"Kenaikan harga minyak ni memang terasa,” kata Fazlia (gambar, kiri) yang memilih menggunakan motorsikal sebagai pengangkutannya ke tempat kerja di Petaling Jaya.

Sementara itu, bagi seorang kontraktor yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 40, berkata petrol kini sudah menjadi keperluan penting manusia.

Jadi, kata Din, mahu atau tidak beliau terpaksa akur dengan kenaikan harga bahan bakar itu.

“Kenaikan harga minyak ini memang merimaskanlah.

"Kita sebagai pengguna minyak memang dah jadi keperluan dan kenaikan harga minyak yang tak menentu ini menjadikan kos kepada kita ditambah pula dengan keadaan ekonomi hari ini yang tak menentu.

“Ekonomi kita ini nampak saja OK tapi tak stabil sebenarnya. Jadi dengan kenaikan harga minyak yang tidak menentu ini memang menyusahkan rakyat,” keluh Din.

Tambah Din, beliau juga terpaksa mengikat perut ekoran kenaikan harga bahan api itu turut memberi kesan kepada harga barangan.

“Pada saya kenaikan harga minyak seiring dengan kenaikan harga barang dan pihak berwajib perlu pantau. Ini tidak, minyak naik sikit tapi harga barang meningkat mendadak.

“Bagi saya perkara ini tidak logik, minyak naik sikit tapi melibatkan semua benda,” kata Din.

Lihat Komen