malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Doa dari Raudhah: Pilih HARAPAN kalahkan BN
Diterbitkan:  Sep 28, 2017 11:53 AM
Dikemaskini: 4:09 AM
ADS

Walaupun jasadnya berada lebih 7,000 kilometer dari Malaysia perkembangan di negara ini tetap dekat di hati Datuk Mahfuz Omar.

Kini masih berada di Madinah selepas mengerjakan haji anggota parlimen PAS untuk Pokok Sena itu menitipkan doa.

Dari Raudhah Mahfuz melafazkan doa supaya rakyat di negara ini dilindungi daripada "pemimpin yang menzalimi" serta memberi kekuatan "mengalahkan Umno dan BN".

Namun isi yang mungkin paling penting diucapkan beliau ialah meminta pengundi memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Ketika ini saya hanya mampu berdoa di sudut Raudah: Ya Allah, bukalah pintu hati rakyat khususnya pengundi di Malaysia menolak Umno BN.

"Ya Allah kau lindungilah rakyat dan negara kami daripada pemimpin yang menzalimi kami, berilah kekuatan kepada kami untuk mengalahkan mereka.

"Ya Allah kau berilah keinsafan dan istiqamah padaku untuk bersama rakyat untuk terus membela dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah negara yang menjadi tuntutan ajaran Islam.

"Ya Allah kau ampunilah aku dan kami semua," katanya.

Raudhah mempunyai makna yang sangat penting kepada umat Islam, khususnya seseorang yang menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi.

Perlekeh kesulitan rakyat

Ia adalah sebuah kawasan khusus yang terletak di antara mimbar masjid dan makam Rasulullah SAW di dalam masjid berkenaan.

Bermaksud "taman syurga" doa yang dilafazkan seseorang di kawasan berkenaan diyakini akan dimakbulkan. Pada musim haji kebiasaannya untuk dapat berada di kawasan Raudhah adalah sangat mencabar kerana bilangan pengunjung yang berebut-rebut untuk berdoa serta beriadah di situ.

Kata Mahfuz ketenangan yang dialaminya di bandar raya Madinah amat terganggu selepas membaca laporan ucapan Datuk Seri Najib Razak mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semasa merasmikan Perhimpunan Agung MIC pada 24 September lalu.

Dalam ucapannya Najib berkata kerajaan memang tahu kesulitan rakyat dan berusaha membantu, namun mengingatkan kadar GST di negara ini cuma 6 peratus.

Di India, kata perdana menteri, kadar GST negara itu ialah 28 peratus.

"Tolong ingat itu. Kita (di Malaysia) baru kena 6 peratus pun dan riuh-rendah bising, marah kerajaan," katanya.

Menurut Mahfuz ucapan perdana menteri itu menghina dan memperlekehkan kesusahan rakyat Malaysia akibat pelaksanaan GST sejak April 2015.

Katanya sebagai seorang tokoh yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan Najib tidak menjiwai keperitan rakyat menghadapi kenaikan kos hidup akibat GST.

Macam serah tengkuk

"Tetapi saya tidak boleh bersabar dengan perlecehan dan penghinaan perdana menteri apabila beliau memperlekehkan penderitaan rakyat.

"Tidak ada sebab sama sekali untuk rakyat merungut dan menentang GST jika pelaksanaannya menjadikan harga barang dan perkhidmatan lebih murah seperti dicanang orang seperti Datuk Ahmad Maslan.

"Hakikatnya GST membawa padah kepada kenaikan kos dan harga barang keperluan hingga menjejaskan kehidupan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Sebagai pedana menteri kata Mahfuz beliau yakin data mengenai pendapatan dan kos sara hidup rakyat ada dalam pengetahuan Najib.

Justeru kata bekas naib presiden PAS itu amat tidak bertanggungjawab bagi seorang perdana menteri memperlekehkan keluh kesah rakyat bawahan yang semakin terhimpit hidup mereka dari hari ke hari.

"Saya juga melihat ucapan perdana menteri membandingkan kadar GST di Malaysia dengan India adalah suatu isyarat jelas bahawa kerajaan memang berhasrat menaikkan lagi kadar sedia ada," katanya.

Namun kata Mahfuz kadar itu tentu tidak akan dinaikkan buat masa ini memandangkan PRU ke-14 semakin hampir dan sokongan rakyat kepada BN kian merosot.

"Mengekalkan BN sebagai kerajaan selepas PRU ke-14 adalah ibarat kita menyerahkan tengkuk untuk disembelih dengan kadar GST yang lebih tinggi.

"Justeru satu-satunya cara untuk mengajar perdana menteri dan kerajaan yang memperlekeh kesusahan rakyat ialah dengan mengundi HARAPAN dalam PRU ke14," katanya.

Lihat Komen