malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

PAS hari ini membantah penganjuran Better Beer Festival 2017 di Selangor selepas acara itu tidak mendapat kelulusan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bendahari PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata bantahan itu dibuat selepas penganjur didakwa membuat permohonan baru kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Ada permohonan (kepada MBPJ), tapi kita dimaklumkan permohonan itu belum lengkap dari segi prosedur.

"Antara prosedur yang diperlukan melibatkan kelulusan pihak polis dan Jabatan Kastam,” kata Khairuddin kepada pemberita di lobi ibu pejabat MBPJ, hari ini.

Ditanya sama ada permohonan baru itu dibuat sebagai tindakan provokasi, Khairuddin berkata ia terpulang kepada tafsiran media namun tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Kamu boleh tafsirnya sendiri tapi kalau nak cakap tidak menolak kemungkinan itu boleh jadi,” kata Khairuddin.

Terdahulu, PAS mengadakan pertemuan dengan pihak MBPJ selepas mendakwa mendapat maklumat penganjur pesta arak itu membuat permohonan baru bagi mengadakan acara berkenaan di 1 Utama, Bandar Utama Petaling Jaya.

Pada pertemuan tersebut Khairuddin turut menyerahkan memorandum bantahan daripada Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi penganjur untuk mendapatkan respon.

Sementara itu, Utusan Online melaporkan permit penganjuran pesta arak tahunan Oktoberfest 2017 masih belum mendapat kelulusan MBPJ kerana didapati gagal menepati beberapa syarat.

Azizi dilapor berkata, permohonan yang diterima pada pertengahan bulan ini tidak dapat diproses kerana kegagalan penganjur mendapatkan surat sokongan polis dan Jabatan Kastam.

Isnin lalu, PAS Selangor berikrar akan menghalang pesta arak dibawa ke negeri itu selepas DBKL membatalkan permit acara Better Beer Festival di ibu negara atas faktor keselamatan.

Pesta itu sebelum ini dicadang diadakan selama dua hari mulai 6 Oktober di Publika Shopping Gallery di Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata acara itu jelas tidak menghormati sensitiviti agama selain mencabar keharmonian hidup beragama.

Gabungan 25 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor turut memohon agar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah campur tangan sekiranya terdapat cadangan pesta arak dianjurkan di negeri itu.

 

 

Lihat Komen