malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP mahu lawan PAS, bukan Umno, kata Nasrudin
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 1:50 PM
Dikemaskini: 8:38 AM
ADS

Hasrat DAP untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 jelas menunjukkan parti itu lebih memusuhi PAS berbanding BN, kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, hasrat itu bertentangan dengan pendirian yang dinyatakan DAP selama ini melawan BN sebagai parti pemerintah.

"Selalu dalam ucapan (pemimpin DAP), mereka menyebut penyertaan dalam PRU adalah untuk berdepan dengan Umno dan BN.



"Tapi apabila mereka letak calon di Kelantan...Ertinya mereka telah cuba untuk berlawan dengan Pas,” katanya seperti dipetik Utusan hari ini.

Pada 25 September lalu, Malaysiakini melaporkan DAP akan kembali bertanding di Kelantan dalam PRU untuk kali pertama selepas 31 tahun, kemungkinan besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Kota Lama.

Menurut pemimpin DAP Kelantan Chua Chin Hui, pimpinan tertinggi parti itu memohon diberi peluang bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Galas dan Kota Lama.

"Dulu, DUN Kota Lama dikenali sebagai DUN Padang Garong. Ia merupakan kerusi tradisi kita," katanya.

Namun, Nasrudin yang juga anggota parlimen Temerloh berkata PAS tidak takut dengan cabaran itu dan telah bersedia untuk berhadapan pertembungan tiga penjuru pada PRU akan datang.

Sementara itu, Pemuda PAS Kelantan 'mengalu-alukan hasrat DAP itu.

Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia membuktikan kebenaran kenyataan sebelum ini bahawa undian terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah undian untuk DAP.

“Dengan pengumuman ini, nyatalah langkah PAS selama ini mempertahankan diri (dari) serangan DAP satu langkah yang tepat," katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Lihat Komen