malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Bazir air liur bincang hal dah jelas'
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 12:30 PM
Dikemaskini: 4:38 AM
ADS

Selepas penafian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam, kini Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad pula menyangkal dakwaan Datuk Husam Musa berhubung wujudnya perbincangan tentang kerjasama parti itu dalam Umno ketika pemukiman mereka beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, isu kerjasama antara PAS dan Umno tidak perlu dibincangkan memandangkan sudah jelas yang PAS akan menempuhi pilihan raya umum (PRU) ke-14 bersama Gagasan Sejahtera.

"Buat apa hendak bincang perkara yang membuang masa dan membazir air liur sahaja. Dalam PRU ke-14, PAS tidak bersama BN dan Pakatan Harapan (HARAPAN), mesejnya jelas.

"Tetapi sengaja buat tidak jelas kerana tidak ada modal," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas dakwaan Husam semalam yang memang ada pimpinan PAS yang mahu bekerjasama dengan Umno pada PRU akan datang, tetapi usaha itu digagalkan sebilangan pemimpin veteran parti itu.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, penentangan itu antaranya disuarakan melalui sepucuk surat kepada pimpinan tertinggi, termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan dibincangkan dalam pemukiman parti di Pulau Pangkor, Perak pada 5 hingga 8 September lalu.

"Setakat maklumat saya dalam retreat PAS di Pulau Pangkor, PAS tidak berani buat keputusan untuk bersama dengan BN," katanya yang kini menjadi penasihat Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS tidak membincangkan perkara itu kerana kenyataan Majlis Syura PAS sudah menyebutnya sebelum ini.

Idris berkata beliau tidak hairan dengan "musuh" PAS yang terus cuba menimbulkan keraguan di kalangan ahli dan penyokong PAS melalui dakwaan itu.

"Mereka bukan ada kerja, yang ada hanya bermain persepsi, fitnah dan andaian. Setakat hari ini senjata mereka tidak dapat meruntuh kekebalan saf kepimpinan PAS," katanya.

Antara ahli veteran PAS yang dimaksudkan Husam adalah bekas pemimpin kanan yang kini menjadi anggota badan penasihat PAS.

Pengerusi badan itu Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berhubung perkara itu berkata beliau "berpuasa daripada memberi kenyataan kepada media".

Lihat Komen