malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BERSIH S'wak tuntut hak mengundi di Semenanjung
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 12:10 AM
Dikemaskini: 4:22 PM
ADS

Jawatankuasa BERSIH Sarawak hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan penduduk Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia mengundi sebagai pengundi tidak hadir.

Menurut jawatankuasa itu, dijangkakan sebanyak 150,000 pengundi dari Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung sama ada untuk bekerja atau dalam pengajian.

“Semua orang tahu bahawa kerana kekangan kos perjalanan, anak kelahiran Sarawak selalunya simpan cuti dan wang mereka untuk pulang kampung berjumpa keluarga pada hari perayaan seperti Krismas atau Gawai.

“Kami menyarankan agar mereka yang jatuh dalam kategori ini diberi peluang mengundi sebagai pengundi tidak hadir, memandangkan jumlah pengundi yang mengundi di Sarawak sangat rendah, yang mana pada 2013 paling rendah di Malaysia, iaitu pada 75 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa itu turut menambah bahawa adalah tanggungjawab SPR untuk memastikan hak mengundi kepada semua rakyat Malaysia, termasuk penduduk Sarawak.

“Pembaharuan yang kami sarankan bukan hanya untuk memberi peluang kepada anak kelahiran Sarawak yang bekerja, belajar atau tinggal di Semenanjung, tapi juga warga Semenanjung yang bekerja atau belajar di Sarawak  atau Sabah untuk melaksanakan hak mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Jawatankuasa itu juga menekankan keperluan pendaftaran automatik pengundi memandangkan jumlah pengundi tidak berdafar sangat ramai.

Dalam memorandum itu, BERSIH Sarawak menjelaskan bahawa mereka ingin berjumpa dengan SPR untuk membincangkan perkara itu.

Lihat Komen