malaysiakini logo
story-image
ADS

Kumpulan pro mahasiswa hari ini kesal dengan kekangan yang dikenakan pihak Universiti Malaya terhadap kumpulan UM Association of New Youths (Umany), termasuklah naib presidennya tidak dibenarkan daripada bertanding dalam pilihan raya kampus.

Tan Jia You (gambar) memberitahu sidang akhbar beliau tidak dibenarkan bertanding semasa peringkat pencalonan.

"Saya tidak diberi sebarang sebab atau justifikasi. Saya telah dilarang daripada bertanding dalam kesemua pilihan raya siswa bermula detik ini," kata siswa tahun ketiga pengajian kewangan.

Tan ialah salah seorang daripada empat siswa UM yang didakwa jawatankuasa disiplin universiti pada Mei tahun ini kerana memegang pelekad mengandungi perkataan '1MDB, pulangkan duit rakyat' dalam majlis dialog ala town hall pada Oktober 2016 lalu.

Para pelajar terbabit dalam proses merayu keputusan bersalah universiti itu di Mahkamah Tinggi.

Apabila dihubungi, timbalan naib canselor (Hal ehwal Pelajar) Datuk Dr Rohana Yusof berkata mahasiswa (yang membuat dakwaan itu) patut membaca 'garis panduan Majlis Perwakilan Mahasiswa universiti' yang memperuntukkan hanya siswa yang tidak pernah didapati bersalah atas kesalahan tata tertib oleh universiti sahaja yang dibenarkan bertanding sebagai salah satu kriteria calon.

Siswa tuntut kebebasan akademik

Bagaimanapun, rakan berkempen Tan, presiden Umany Kon Hua En bertegas pembatalan itu tidak adil.

"Dalam pilihan raya kampus, kuasa perlu diberikan kepada mahasiswa untuk memutuskan jika mereka mahukan satu-satu calon itu," hujah beliau.

Kon turut kesal poster beliau ditolak Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti kerana 'isyarat tangan yang tidak sesuai' dan bagaimana kumpulan-kumpulan yang dianggap sebagai 'anti pihak berkuasa' perlu memenuhi syarat-syarat tambahan sebelum mereka dibenarkan memberikan ucapan dalam kempen di kolej-kolej kediaman dalam kampus.

Bagi pilihan raya kampus kali ini, Umany bergabung bersama Angkatan Mahasiswa (Angkatan) dan Demokrat UM (Demokrat) untuk berkempen agenda mahasiswa.

"Kami mahu AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1971 dimansuhkan, kami mahu kesatuan mahasiswa diperkenalkan semula bagi memberi para pelajar autonomi untuk mentadbir kegiatan siswa di kampus dan kami mahu mahasiswa mengendalikan sendiri pilihan raya kampus.

"Kami akan turut mempertahankan kebebasan akademik supaya mahasiswa dan pensyarah akan bebas daripada rejim yang menyekat kebebasan bersuara," kata aktivis mahasiswa Anis Syafiqah yang membacakan kenyataan bersama pakatan pilihan raya kampus tersebut dalam sidang media yang sama.

Pilihan raya kampus dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti.

Waktu berkempen bermula malam ini manakala hari mengundi jatuh pada Khamis, 28 September 2017 dengan keputusan akan diumumkan pada hari yang sama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen