malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Selepas 31 tahun, DAP akan kembali bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pemimpin DAP Kelantan Chua Chin Hui berkata, pimpinan tertinggi parti itu memohon diberi peluang bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Galas dan Kota Lama.

"Ya betul, kali terakhir kita bertanding di Kelantan pada 1986.

“Ketika itu kita bersendirian dan tewas, belum ada kerjasama dengan parti lain seperti sekarang.

"Dulu, DUN Kota Lama dikenali sebagai DUN Padang Garong. Ia merupakan kerusi tradisi kita," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber dalam Pakatan Harapan Kelantan yang berkata DAP akan meletakkan calon mereka di kerusi tersebut.

"DAP akan tampilkan calon daripada wakil Orang Asli bagi DUN Galas.

“Ini salah satu pendekatan baru untuk memberi peluang kepada Orang Asli berada dalam kerajaan jika kita berjaya menawan Kelantan," kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah mengakui wujudnya permintaan daripadanya parti komponen HARAPAN itu untuk bertanding di negeri itu.

"Ya ada permintaan (daripada DAP) untuk bertanding di DUN," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen turut mengesahkan parti itu memang berniat untuk bertanding di dua kerusi DUN tersebut.

"Benar, (dan) kami akan berbincang soal calon jika mendapat hak untuk bertanding," katanya.

Hampir semua kerusi parlimen dan DUN di Kelantan adalah kawasan majoriti Melayu.

Kawasan paling ramai Cina

Kota Lama adalah kawasan DUN yang mempunyai pengundi Cina paling ramai, iaitu satu per tiga daripada kira-kira 30,000 pengundi.

Ia juga satu-satunya kerusi yang ditandingi MCA pada PRU ke-12 dan ke-13.

Pada PRU lalu, pengerusi MCA Kelantan Tan Ken Ten tewas kepada Datuk Anuar Tan Abdullah dengan perbezaan 6,618 undi di DUN itu.

Berhubung soal pembahagian kerusi Parlimen di negeri itu, Abd Rahim berkata rundingan antara empat parti HARAPAN belum selesai.

"Masih ada empat kerusi parlimen yang bertindih dan rundingan masih lagi berjalan. Ia melibatkan pertindihan antara AMANAH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PKR," katanya.

Pada sidang media itu, AMANAH Kelantan mengumumkan akan mengadakan majlis makan malam meraih dana pilihan raya pada 10 Oktober ini, dengan sasaran RM1 juta.

Lihat Komen