malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah'
Diterbitkan:  Sep 23, 2017 10:09 AM
Dikemaskini: 3:03 AM
ADS

Program Kembara Jelajah Antirasuah (Kejar) merupakan antara platform terbaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendekati masyarakat.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Sabli berkata melalui program turun padang itu pihaknya dapat menyebar luas mesej antirasuah dan salah guna kuasa kepada masyarakat setempat.

"Program ini bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat kepada SPRM, tetapi ia dilihat mampu mendidik masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah serta penyalahgunaan kuasa kepada SPRM.

"Melalui program ini kami harap masyarakat tidak lagi menggeruni SPRM... yang kami mahukan adalah 'SPRM mesra rakyat, digeruni perasuah'," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelepasan Kejar di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu hari ini.

Mengenai program itu, Sazali berkata konvoi kembara itu diadakan dengan kerjasama Sabah Big Bikers Association (SBBA), membabitkan 45 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi berkenaan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan kerjasama pelbagai persatuan dalam program berkaitan rasuah dan ini memperlihatkan komitmen dan kesungguhan persatuan itu membantu SPRM," katanya.

Konvoi yang berlangsung sehari itu akan melalui beberapa daerah iaitu Papar, Mambakut, Beaufort, Sipitang dan berakhir di Sindumin.

- Bernama

Lihat Komen