malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tribunal PPT dapati Myanmar bersalah atas jenayah genosid
ADS

Tribunal Awam Tetap (PPT) mengenai Myanmar hari ini mendapati negara Myanmar bersalah atas jenayah genosid (penghapusan etnik) terhadap minoriti Kachin dan kumpulan Islam yang lain termasuk Rohingya.

Dalam keputusan sebulat suara, bekas Presiden International Association of Genocide Scholars, Daniel Feierstein yang mengetuai panel tujuh anggota itu, memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah.

“Tribunal mencapai kesepakatan dengan memutuskan bahawa negara Myanmar mempunyai niat untuk melakukan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap etnik Kachin dan masyarakat minoriti Islam yang lain. Selanjutnya, negara Myanmar bersalah atas jenayah genosid ke atas kumpulan Rohingya,” kata Feierstein.

Ketika membacakan penghakiman, Feierstein berkata semua jenayah yang tidak dihukum ini telah dilakukan dan sedang diperlakukan oleh tentera Burma dan oleh rejim yang berkuasa di negara Myanmar yang seolah-olah menjadi sebahagian daripada rancangan.

“(Dengan niat) …untuk menafikan sebarang pengungkapan autonomi dan kerajaan sendiri masyarakat wilayah Kachin dan secara lebih umum, untuk mengaibkan dan untuk menghapuskan identiti etnik dan budaya golongan minoriti yang tinggal di Burma,” kata beliau.

Tribunal itu mencapai keputusan selepas mendengar dan menganalisis hujah-hujah pihak pendakwaan, pandangan saksi-saksi pakar dan keterangan mangsa sepanjang perbicaraan selama lima hari yang berakhir hari ini.

Keputusan Tribunalakan dimaklumkan kepada pelbagai badan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva dan Pejabat Penasihat mengenai Pencegahan Genosid di New York.

Enam hakim lain terdiri daripada Zulaiha Ismail (Malaysia), Helen Jarvis (Kemboja-Australia), Gill H. Boehringer (Australia), Nursyahbani Katjasungkana (Indonesia), Shadi Sadr (Iran) dan Nello Rossi (Itali).

Tribubal Awam Tetap Rakyat merupakan tribunal pendapat antarabangsa yang ditubuhkan di Bologna (Itali) pada 1979. Sejak penubuhannya, tribunal telah mengadakan 43 sesi mengenai pelbagai kes pencabulan hak asasi manusia dan rakyat.

Tribunal juga mengemukakan 17 syor berikutan penghakiman hari ini.

Antara syor yang diumumkan ialah pakej gencatan senjata dengan segera dan de-militerisasi dengan semua kumpulan bersenjata di wilayah Rakhine dan tentera Myanmar termasuk mewujudkan zon de-militerisasi di sepanjang sempadan di wilayah Rakhine di Utara.

 

-Bernama

Lihat Komen