malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hamidah: Syed Saddiq halau saya keluar BERSATU
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 5:36 PM
Dikemaskini: 10:41 AM
ADS

Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hamidah Osman mengakui kecewa dengan keenganan pemimpin tertinggi parti menerima kritikan dan "serangan" daripada sayap pemuda (Armada) parti itu.

Katanya, sebelum ini, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah menghalaunya keluar parti selain menuduhnya sebagai agen Umno.

“Selaku anak muda yang pangkatnya seperti anak saya tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian.

“Sebagai seorang ibu, wanita dan orang Melayu yang kaya dengan adab, saya tidak sanggup melihat budaya itu diterapkan dalam BERSATU.

“Malangnya perbuatan tersebut seolah direstui kerana tiada sebarang langkah atau tindakan diambil dalam membendung budaya yang dibawa Saddiq itu,” katanya dalam satu rakaman video ekslusif yang diterima Sinar Harian lewat malam semalam.

Hamidah berkata Syed Saddiq hanya berani bertindak demikian disebabkan ada orang kuat di belakang yang menyokong segala tindak tanduknya.

Beliau juga membidas pihak yang melabelnya sebagai gila jawatan kerana mahukan jawatan Pengerusi BERSATU Perak.

“Ramai yang cakap apabila tidak dilantik, saya kecewa. Itu bukan faktornya kerana ketika itu saya ada jawatan yang lebih tinggi iaitu Naib Presiden BERSATU.

“Cuma saya kecewa cara pemilihan yang dibuat itu tidak menjamin atau memastikan kejayaan BERSATU di Perak seperti yang saya harap dan usahakan sejak dari awal penubuhannya di negeri ini,” katanya.

Kecewa dengan keadaan yang tidak terkawal itu, katanya beliau membuat keputusan dengan berat hati untuk melepaskan semua jawatan termasuk keluar dari BERSATU.

“Saya rasa tidak mampu lagi berjuang bersama Tun Mahathir. Bukan mudah keputusan ini dibuat tetapi saya yakin ia baik untuk semua pihak,” katanya.

Mohon maaf

Sabtu lalu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatan Hamidah dan mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada parti itu.

Pada hari yang sama, pengasas bersama BERSATU, Anina Saadudin juga keluar parti dan mendakwa BERSATU dikuasai oleh pemimpin yang tidak dapat menerima kritikan.

Anina adalah pemimpin kedua daripada tujuh pengasas BERSATU yang bertindak meninggalkan parti, selepas Kamarul Azman Habibur Rahman, berbuat demikian pada April tahun ini.

Ketika dihubungi, Syed Saddiq mengucapkan terima kasih kepada Hamidah atas sumbangannya kepada parti itu dan menyatakan kesediaannya untuk mengketepikan perbezaan mereka, termasuk melabelnya sebagai agen Umno.

“Memang betul saya berbeza pendapat dengan Datuk Hamidah berkenaan beberapa isu dalaman tapi jika disebabkan ini Datuk merasakan saya biadap, saya minta maaf.

“Itu berlaku apabila Datuk menyerang parti tanpa henti dan ketika tidak dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Perak.

“Saya hanya mempertahankan apa yang saya rasa benar dan saya rasa ini merupakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan presiden dan timbalan presiden di atas tohmahan yang dilontarkan ke atas mereka,” katanya.

Menurutnya, tidak ada gunanya melanjutkan perbalahan mereka sehingga lupa akan musuh utama negara iaitu rasuah dan salah guna kuasa yang menjerat rakyat dengan beban kos sara hidup yang tinggi.

"Kami mungkin berselisihan tetapi tidak bermakna saya tidak menghargai apa yang disumbangkannya pada mulanya (BERSATU, dan saya doakan semua yang terbaik kepada Datuk," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen