malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Liow hormat keputusan batal pesta arak
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 3:46 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau menerima keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit kepada Better Beer Festival 2017 untuk menganjurkan acara itu, susulan mesyuarat kabinet hari ini.

Liow, yang merupakan menteri pengangkutan, berkata beliau telah membangkitkan isu itu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semasa mesyuarat kabinet hari ini dan diberitahu keputusan DBKL dibuat berdasarkan faktor keselamatan.

"Jika ia adalah kerana sensitiviti politik atau agama, maka saya tidak boleh menerimanya. Tetapi jika ia adalah soal keselamatan, ini sesuatu yang tak mengecewakan saya," kata Liow, menurut Kwong Wah Daily.

Liow berkata beliau menghormati keputusan itu dan sekiranya festival itu tidak diadakan di tempat awam maka ia tidak menjadi masalah.

Ini berbeza dengan apa yang diperkatakan Liow semalam selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden MCA.

Menurut Sin Chew Daily, Liow berkata acara itu telah diadakan sejak beberapa tahun lalu tanpa sebarang kejadian tidak diingini. Oleh itu katanya, DBKL tidak sepatutnya menghentikan acara itu sekarang.

"Kita tidak boleh terima pendapat peribadi yang diterima pakai sebagai dasar kerajaan, yang boleh menyebabkan Kuala Lumpur menjadi bahan ketawa antarabangsa.

"Kita menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan pelbagai kumpulan etnik. Selagi undang-undang negara tidak dilanggar, kami percaya DBKL sepatutnya membenarkan acara itu berlangsung," katanya.

Better Beer Festival merupakan acara yang mempromosikan minuman keras dan telah diadakan di Kuala Lumpur sejak tahun 2011.

Bagaimanapun, ia menjadi isu nasional selepas anggota jawatankuasa PAS, Riduan Mohd Nor mengadu mengenai acara itu dua minggu lalu dan mengatakan ia boleh mengundang kepada ancaman pengganas.

Penganjur Mybeer (M) Sdn Bhd berkata mereka telah dimaklumkan bahawa acara tersebut perlu dibatalkan tahun ini kerana sensitiviti politik.

Lihat Komen