malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia - Thai tandatangan MoU kerjasama keselamatan
ADS

Kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Thailand akan bertambah erat dengan penubuhan Jawatankuasa Bersama Kerjasama Keselamatan kedua-dua negara, menurut dokumen resolusi kabinet yang dikeluarkan kerajaan Thailand.

Kedua-dua negara dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), yang membuka jalan kepada penubuhan Jawatankuasa Bersama itu di Kuala lumpur bulan ini.

"Ketua Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) Jen Thawip Netniyom telah diberi kuasa mewakili kerajaan untuk menandatangani MoU di Kuala Lumpur," katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan telah meluluskan draf MoU mengenai pembentukan jawatankuasa itu.

Dokumen itu dikeluarkan berikutan mesyuarat Kabinet semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha di Ayutthaya, tengah Thailand.

MoU itu akan melibatkan kerjasama keselamatan antara dua negara berjiran ini dalam beberapa bidang termasuk pengurusan keselamatan sempadan, memerangi ekstremisme serta ancaman rentas sempadan dan rentas negara, menurut dokumen itu.

Kedua-dua negara yang berkongsi sempadan darat dan maritim ini telah meningkatkan kerjasama dan memperketat kawasan di sempadan masing-masing, bagi menghindari bukan sahaja penjenayah atau kegiatan penyeludupan, tetapi juga kemungkinan pencerobohan oleh individu yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas, Daesh.

-Bernama

Lihat Komen