malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, spekulasi bahawa ibu bapa suspek yang disyaki membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, Khamis lalu
akan turut diheret ke mahkamah adalah hanya khabar angin.

"Ibu bapa suspek tiada kena mengena dengan kes ini, malah tindakan tujuh suspek ini dikategorikan sebagai kesalahan juvana.

"Semua pihak, termasuk media tidak perlu membuat spekulasi bukan-bukan mengenai perkara ini. Kami akan kemukakan saranan kepada pihak pendakwaan berdasarkan hasil siasatan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi juga yakin polis akan melengkapkan siasatan insiden kebakaran itu walaupun berdepan beberapa kekangan yang tidak disengajakan.

"Kita hampir selesai menjalankan siasatan, cuma ada beberapa isu yang kita perlu selesaikan dalam masa terdekat.

"Kita tak boleh ambil kenyataan daripada beberapa kanak-kanak yang masih menerima rawatan di hospital. Kita juga perlu (rakam kenyataan mereka).

"Sepatutnya kita dah siap tetapi kerana beberapa kekangan laporan daripada pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak forensik," katanya

Rampas telefon polis

Pada kejadian menyayat hati pada 14 September lalu, seramai 22 pelajar pusat tahfiz dan dua tenaga pengajar terkorban susulan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Susulan itu, polis berjaya menahan tujuh suspek berusia antara 11 hingga 18 tahun.

Mohamad Fuzi berkata, siasatan tersebut memerlukan sedikit masa lagi untuk diselesaikan.

"Mereka (pihak berkaitan) memerlukan sedikit masa dan kita kena akur kepada tempoh masa yang mereka minta untuk lengkapkan siasatan.

"Jadi bila siasatan ini lengkap (dan) kita (perlu) selesai ambil kenyataan daripada kanak-kanak yang berada di hospital.

"Jadi kita perlukan sedikit masa susulan kekangan yang tak disengajakan ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Fuzi berkata, pasukan kes tersebut telah ditubuhkan dan mereka telah merampas telefon milik anggota dan pegawai yang terlibat dalam kebocoran maklumat kes tersebut.

"Kita kena bagi peluang kepada pasukan Task Force ini untuk menjalankan siasatan yang telus secepat mungkin dan berharap kita dapat rungkai masalah serius yang kita hadapi ini," katanya.

Terdahulu, polis dilaporkan mengambil keterangan daripada 13 anggotanya bagi membantu siasatan kebocoran maklumat tersebut, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Lihat Komen