Empat pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) peringkat bahagian, bersama 28 cawangan, menyertai Parti Keadilan Nasional, 48 jam sebelum hari pembuangan undi pilihanraya kecil Likas Sabtu ini.
Ketua bahagian Likas Satur Sembuling, bendaharinya Suhailee Jamadil dan ahli jawatankuasa Lidin Buti diumumkan meninggalkan parti itu dalam satu majlis ceramah malam tadi.
Turut menyertai Keadilan, ketua bahagian Tukau, Yusof Nasir.
Pengumuman itu dibuat Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail di bilik gerakan parti di Likas di depan 400 penyokong parti itu.
Mereka berikrar memberi sokongan penuh kepada calon Keadilan Christina Liew Chin Jin.
Selain Keadilan, pilihanraya kecil Likas disertai calon-calon Barisan Nasional Datuk Yong Teck Lee, PBS Dr Chong Eng Leong dan bebas Joshua Kong.
Satur menjelaskan, dalam ucapannya di majlis itu, beliau tidak berpuas hati dengan Presiden PBS Datuk Pairin Kitingan yang tidak menunaikan janji untuk meletakkan calon bumiputera Islam di kawasan itu.
Daripada 26,196 pengundi Likas, 60 peratus kaum bumiputera Islam, 31 peratus Cina 31 dan selebihnya bumiputera bukan Islam.
Beliau juga berkata keyakinannya kepada PBS mulai hilang sejak parti itu mengemukakan petisyen di mahkamah pilihanraya Kota Kinabalu.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini asalnya dimenangi Yong, calon BN sekarang, tetapi keputusan itu dicabar oleh calon-calon PBS, Dr Chong, dan Parti Bersekutu, Datuk Harris Mohd Salleh. Mahkamah membatalkan kemenangan itu selepas daftar pemilih didapati mengandungi pengundi-pengundi yang tidak sah.
Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, yang turut berceramah semalam, berkata "bukan senang" bagi aktivis-aktivis PBS itu berbuat demikian kerana parti itu telah lama bertapak. PBS ditubuhkan beberapa minggu menjelang pilihanraya negeri 1985.
Sementara seorang pemimpin Keadilan Sabah, Abd Rahman Yakob menyeru pengundi "mengembalikan kedaulatan undang-undang yang telah dicabuli Umno".